Najib  bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay untuk menghadiri Persidangan Kemuncak ASEAN Ke-28 dan 29 di Vientiane.
Najib bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay untuk menghadiri Persidangan Kemuncak ASEAN Ke-28 dan 29 di Vientiane.

Vientiane (Laos): Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-28 dan ke-29 dari hari ini hingga Khamis ini.

Ini adalah Sidang Kemuncak ASEAN pertama yang diadakan selepas penubuhan Komuniti ASEAN pada 31 Disember 2015 dan selepas menerima pakai visi ASEAN iaitu ASEAN 2025: Maju Bersama, yang dicapai semasa Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN.

Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia Jojie Samuel berkata memandangkan ini adalah tahun pertama bagi Komuniti ASEAN, Tema sempena Laos sebagai pengerusi ialah ‘Turning Vision Into Reality for a Dynamic ASEAN Community’ (Menukarkan Visi Menjadi Realiti bagi Komuniti ASEAN Dinamik) adalah tepat pada masanya dan sesuai memandangkan ASEAN sedang berusaha untuk menjadikan aspirasi dan visinya menjadi realiti.

“Selain Sidang Kemuncak ASEAN, Perdana Menteri bersama-sama pemimpin ASEAN yang lain akan turut menghadiri mesyuarat ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur dan mesyuarat ASEAN Campur satu dengan rakan dialog, termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun, India, Australia, Korea Selatan dan Pertubuhan Bangsa Bersatu,” katanya kepada wartawan Malaysia, semalam.

Samuel berkata, program Najib bermula hari ini dengan majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-28 dan ke-29. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2016 @ 11:17 AM