Kuala Lumpur: Malaysia menunaikan janjinya untuk mengemudi ASEAN supaya menjadi lebih rapat dengan rakyat sepanjang menjadi pengerusi perkumpulan 10 negara anggota itu pada 2015, kata Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata, dengan berpandukan slogan ‘Rakyat Kita, Komuniti Kita, Visi Kita’, Kuala Lumpur juga melipatgadakan usahanya untuk melibatkan pelbagai masyarakat dalam melaksanakan aktiviti dan proses ASEAN.

“Antara inisiatif yang dilaksanakan Malaysia sepanjng menjadi pengerusi ASEAN ialah meningkatkan hubungan antara para pemimpin dengan pelbagai sektor masyarakat seperti belia, masyarakat sivil, komuniti perniagaan dan penggubal undang-undang,” katanya kepada Bernama menjelang berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidagan-sidang Kemuncak Berkaitan minggu ini.

Anifah seterusnya berkata tempoh Malaysia menjadi pengerusi ASEAN ditandai dengan penekanan yang diberinya terhadap konsep kesederhanaan.

Ini, kata beliau, dapat dilihat dengan jelas melalui cara Malaysia menanganiisu serantau dan antarabangsa.

Mengemudi ASEAN lebih rapat kepada rakyat adalah antara keutamaan yang digariskan Malaysia ketika ia mengambil alih jawatan pengerusi perkumpulan itu daripada Myanmar pada 1 Jan 2015.

Satu lagi keutamaan ialah penubuhan Komuniti ASEAN secara rasmi, yang memerlukan integrasi lebih padu melalui tiga tonggak iaitu keselamatan politik, ekonomi dan sosio-budaya.

Di bawah pengawasan Malaysia, ASEAN juga menggubal rangka kerja bagi wawasan pasca 2015 untuk Komuniti ASEAN.

Keutamaan lain ialah meningkatkan peranan ASEAN sebagai penggiat global, mengukuhkan pembangunan syarikat kecil dan sederhana (SKS) di rantu ini dan meningkatkan perdagangan serta pelaburan intra-ASEAN.

Turut disenaraikan sebagai keutamaannya ialah mengukuhkan institusi ASEAN serta memupuk keamanan dan keselamatan serantau.

ASEAN dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 4:25 PM
LOGO dan bendera rasmi negara Asean dipasang di sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menjelang Sidang Kemuncak ASEAN 2015, sidang kemuncak tersebut bakal mengumpulkan para pemimpin ASEAN dan kuasa-kuasa besar dunia yang akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 18 November hingga 22 November. FOTO Abdullah Yusof
LOGO dan bendera rasmi negara Asean dipasang di sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menjelang Sidang Kemuncak ASEAN 2015, sidang kemuncak tersebut bakal mengumpulkan para pemimpin ASEAN dan kuasa-kuasa besar dunia yang akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 18 November hingga 22 November. FOTO Abdullah Yusof