Oleh Muhd Izawan Baharin dan Rizanizam Abdul Hamid

Kuala Lumpur: “Saya bersedia berdebat secara terbuka dengan ahli fahaman agnostik untuk membetulkan semula akidah mereka yang sudah murtad itu. Mereka boleh hubungi saya di talian 012-2465518 untuk tetapkan masa dan tempat bila-bila masa saja.”

Demikian tegas Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) Dr Zamihan Mat Zin Al-Ghari terhadap ‘pegangan’ kumpulan agnostik yang meragui syariat atau amalan semua agama termasuk Islam kerana menganggap ia hanya ciptaan manusia untuk mencari Tuhan.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, kumpulan itu tidak menggunakan akal dengan waras sebaliknya kemandulan akal menyebabkan mereka gagal mengenali Allah dengan logik.

“Kalau mereka hendakkan kajian saintifik sangat, manusia itu dari mana? Alam dan matahari datang dari mana? Benda saintifik ini benda yang akal boleh fikir dan boleh buat eksperimen dengan makmal.

“Tapi bila tidak boleh diuji secara sains, kita guna logik akal saja, logik pada akal, mustahil pada akal, harus pada akal. Akal boleh terima kewujudan Allah dengan logik sehingga akhirnya ada keputusan kajian bahawa setiap yang wujud itu terhasil daripada satu kuasa yang agung dan kuasa itulah milik Alllah.

“Bahkan mustahil setiap yang wujud itu berlaku dengan sendiri dan kalau pengikut fahaman agnostik ini hendak bukti saintifik dan berhujah, boleh hubungi saya bila-bila masa untuk berdebat secara terbuka,” katanya.

Ahli Jawatankuasa Pusat Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Mohd Fakaruddeen Che Omar yang mendedahkan perkara itu dipetik berkata, terdapat ribuan belia yang dikesan berfahaman agnostik sejak beberapa tahun lalu berdasarkan pemantauan beliau terutama di media sosial.

Golongan liberal itu menurutnya, beranggapan amalan terutama solat hanya ciptaan manusia sebagai cara penghubung diri dengan Tuhan selain tidak percayakan alam ghaib seperti alam barzakh, hari akhirat, kiamat, dosa, pahala, syurga dan neraka berikutan tiadanya bukti saintifik yang mengesahkan kewujudan itu.

Mengulas lanjut, Zamihan menegaskan kumpulan agnostik sudah tergolong sebagai murtad dan kafir kerana meragui kewujudan Allah, Nabi Muhammad SAW dan al-Quran dan wajib segera bertaubat dengan merujuk pada jabatan agama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 4:55 AM