FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Dr Mohd Hasrul Shuhari

Penglipur lara menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merujuk kepada  orang yang menghiburkan hati yang duka  dengan menyampaikan cerita rakyat yang berunsur jenaka, biasanya diselitkan  dengan syair, pantun, seloka dan sebagainya.

Dalam konteks artikel ini, penglipur lara yang dimaksudkan adalah sebahagian penceramah yang menerangkan perkara akidah secara salah yang tidak berpandukan ajaran Islam menurut perspektif Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ).

Mereka  menyebarkan fahaman  ajaran yang membawa virus tajsim  menerusi  ceramah dan tulisan mereka. Tajsim  secara ringkasnya  bermaksud suatu fahaman yang mendakwa bahawa Allah SWT memiliki jisim meskipun beranggapan jisim Allah SWT tidak sama seperti jisim makhluk-makhluk-Nya. 

Terdapat  penceramah  agama  yang mendakwa Allah  SWT  mempunyai sifat fizikal dan jisim. Ungkapan fizikal dan jisim ini jelas disebut oleh penceramah tersebut serta mereka cuba mengaitkannya dengan ajaran Rasulullah SAW dan para ulama salaf soleh. 

Mereka mendakwa sesiapa yang tidak percaya bahawa Allah SWT memiliki jisim maka mereka tidak mengikuti ajaran salaf soleh yang sebenar.  Menurut logik versi mereka, jika Allah SWT tiada jisim, maka sudah pasti Allah SWT tidak wujud kerana setiap yang wujud mesti berjisim. 

Mereka menolak silibus mantik meskipun ia berdasarkan ASWJ, lantas ia memberi kesan kepada cara mereka berfikir sehingga terjebak kepada logik yang tidak patuh syariah berasaskan ASWJ. Peliknya, mereka membidaahkan mantik yang diajar secara sistematik, tetapi mereka masih cuba menggunakan logik, malangnya secara lebih  berbahaya kerana melanggar akidah.

Selain itu,  ada  dakwaan  bahawa kursi  Allah SWT  yang didakwa mereka sebagai tempat berpijaknya kaki Allah SWT  adalah  seluas langit dan bumi maka bagaimana pula arasy dan Allah SWT itu sendiri.  Ini memberi maksud jisim Allah SWT sangat besar  melebihi besarnya kursi dan arasy  meskipun didakwa jisim-Nya tidak sama dengan jisim makhluk.

Ada yang  membandingkan  antara Allah SWT dengan manusia bagaikan seseorang yang sedang melihat laptop. Sudah pasti orang tersebut dapat melihat keseluruhan laptop dan  papan kekunci  kerana ia lebih besar  atau tinggi  berbanding alat tersebut. Ini berbeza jika seseorang itu kecil seperti semut yang mana jika ia berada di atas laptop tersebut sudah pasti ia tidak nampak keseluruhan laptopnya.  Menurut mereka, zat fizikal-Nya adalah berada di tempat tinggi dan bersaiz besar.

Mereka juga mendakwa,  jika seseorang itu berada di  tempat tinggi seperti di  atas gunung maka ia lebih hampir jaraknya dengan Allah SWT meskipun selepas itu disusuli dengan ungkapan yang memberi maksud meskipun jarak seseorang itu dekat dengan Allah SWT secara fizikal namun yang diambil kira tetaplah amalan seseorang yang memberi faedah dekat martabatnya dengan Allah SWT.  Ungkapan susulan tersebut tetap tidak dapat memadamkan kesesatan ungkapan jarak fizikal tersebut.

Ada yang mendakwa  bahawa  Allah SWT turun ke gunung Tursina untuk berjumpa Nabi Musa AS. Maka, ketika itu arasy menjadi kosong kerana tiada lagi Allah SWT di sana kerana Dia  sudah  pergi ke  tempat lain.  Ada juga mendakwa bahawa meskipun Allah SWT turun ke dunia, zat-Nya tetap berada di atas arasy.

Bahkan ada yang mendakwa  suka hati Allah SWT untuk duduk atau berdiri sama ada di  atas  arasy atau di  atas  kursi kerana Allah SWT  Maha Berkuasa. Bahkan menurut mereka, Allah SWT mampu untuk berada di atas nyamuk tanpa ia merasa beratnya  zat Allah SWT tersebut.  Bagi mereka  juga,  Allah  SWT memiliki lima jari dan  mendakwa  yad  (tangan)  merupakan alat untuk menggenggam.

Ada juga  mendakwa  dirinya  berpegang dengan salaf,  telah  mengkritik Sheikh  'Ali al-Sabuni kerana al-Sabuni menyeru kepada mentanzihkan (menyucikan) Allah daripada jisim, kelopak mata, lubang telinga, lidah, kerongkong, shakl (bentuk) dan surah (gambaran).  Alasan kritikan itu adalah salaf tidak pernah menafikan perkara terbabit wujud pada Allah.

Terdapat juga yang mendakwa Allah SWT mampu membuat perkara yang dalam kategori mustahil akal seperti mampu mencipta anak-Nya sendiri cuma mereka susuli dengan ungkapan Allah SWT tidak mahu melakukannya sahaja. Berkaitan dengan perkara ini juga, terdapat penceramah yang memperlekehkan silibus akidah ASWJ yang diajarkan di Malaysia berkenaan pembahagian hukum akal yakni wajib akal, harus akal dan mustahil akal. Boleh difahami dari sini kenapa mereka bermasalah ketika mendakwa Allah SWT mampu buat perkara yang mustahil akal.

Ada juga yang mendakwa Allah SWT akan mendudukkan Nabi Muhammad SAW di sebelah-Nya di atas arasy. Semua contoh-contoh ini penulis dengar  dan baca  sendiri. Inilah ajaran golongan mujassimah yang masih wujud  pada zaman ini.  Mereka mendakwa fahaman ini adalah fahaman sunnah, salaf soleh, ahli hadis, athariyyah, hanabilah  atau seumpamanya.

Sebaliknya, ajaran Ahli Sunah Waljamaah  tidaklah sedemikian.  Berikut adalah antara catatan penting  Seminar Antarabangsa Ahli Sunnah Wal Jamaah: Manhaj Akidah Majoriti Ahli Hadis 2023 (ASWAJA 2023)  anjuran Pusat Pengajian Usuluddin, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang mana jika sesiapa fahaminya dengan baik, ia tidak akan berfahaman tajsim dengan izin Allah SWT:

(1) Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) adalah aliran majoriti dan paling dominan dalam sejarah umat Islam yang mengikuti Sunnah Nabi SAW dan jemaah para sahabat baginda (ma ana 'alaihi wa ashabi). Manhaj ini dirumuskan dan dikembangkan oleh generasi seterusnya di kalangan salaf dan khalaf yang secara khususnya terdiri dari tiga golongan utama,  al-Asha'irah, al-Maturidiyyah dan  Ahl al-Hadith al-Mufawwidah (atau disebut juga sebagai al-Hanabilah atau al-Athariyyah). 

(2) ASWJ mengisbatkan semua sifat-sifat Allah SWT yang secara umumnya terbahagi kepada muhkamat dan mutashabihat. Ini berbeza dengan golongan selain ASWJ antaranya seperti golongan Mujassimah dan kini Salafiyyah yang mendakwa semua sifat Allah SWT adalah muhkamat sehingga kesannya, menyebabkan nas-nas mutashabihat diberikan makna zahir yang mustahil bagi Allah SWT.

(3) Manhaj akidah majoriti ulama hadis di Nusantara ialah berpegang dengan akidah ASWJ dari aliran al-Asha'irah berkenaan sifat-sifat Allah SWT. Mereka menggunakan kedua-dua manhaj atau salah satu daripadanya iaitu tafwid dan takwil ketika berinteraksi dengan nas-nas sifat al-mutashabihat atau sifat al-khabariyyah. 

(4) Majoriti tokoh ilmuwan hadis al-Azhar Mesir berpegang dengan manhaj ASWJ sama ada al-Asha'irah, al-Maturidiyyah atau al-Athariyyah (dikenali juga sebagai Hanabilah dan Ahl al-Hadith al-Mufawwidah). Manhaj akidah institusi terkemuka dunia Islam seperti al-Azhar Mesir ini perlu dipertahankan dan dikembangkan secara lebih meluas ‎ kepada umat Islam sebagai benteng bagi memperkukuhkan pegangan akidah Islam yang ‎benar.

(5) Majoriti ilmuwan hadis Deobandi adalah berpegang dengan akidah al-Asha'irah dan al-Maturidiyyah, fekah mazhab Hanafi dan bertarekat Sufi. Mereka membahagikan sifat-sifat Allah SWT kepada muhkamat dan mutashabihat. Kaedah tafwid kaifiyyat hanya digunakan pada sifat muhkamat manakala kaedah takwil dan tafwid ma'na pula digunakan pada sifat-sifat mutashabihat. 

(6) Majoriti ulama hadis Maghribi juga berpegang dengan akidah aliran al-Asha'irah. Berkenaan sifat-sifat mutashabihat, jumhur salaf termasuk Asha'irah generasi awal menggunakan kaedah tafwid manakala jumhur khalaf termasuk Asha'irah generasi akhir menggunakan kaedah takwil. Ulama hadis Maghribi seperti al-Hafiz Abdullah al-Siddiq al-Ghumari antara ulama yang menggunakan takwil, menolak tashbih dan mengkritik golongan mujassimah yang suka menisbahkan diri mereka kepada salaf.  

Penulis Prof  Madya di  Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)S

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 8:16 AM