MUNCULNYA pena mengisyaratkan tersebarnya karya serta buku seluas-luasnya sehingga mudah diperoleh walaupun dibatasi jarak yang jauh.
MUNCULNYA pena mengisyaratkan tersebarnya karya serta buku seluas-luasnya sehingga mudah diperoleh walaupun dibatasi jarak yang jauh.
Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

PENULISAN pada hari ini dilihat semakin pantas berkembang dan tersebar ke seluruh pelosok dunia dalam tempoh yang begitu singkat. Menggunakan platform media sosial, penulisan menjadi kebiasaan bagi masyarakat untuk meluahkan pandangan serta berkongsi maklumat dengan yang lain. 

Dalam masa sama, mereka yang mengikuti penulisan tersebut mampu memberi pandangan serta komentar secara tidak langsung menghidupkan budaya penulisan akhir-akhir ini.

Namun, tersebarnya penulisan ini adalah antara salah satu tanda daripada tanda-tanda hampirnya kiamat yang dijelaskan oleh Baginda Nabi SAW. Tanda ini secara umumnya sedang berlaku, namun tidak disedari oleh manusia. Kemudahan untuk mendapatkan alat tulis atau alat untuk menghasilkan tulisan ini menjadikan penulisan pantas untuk disebarkan sama ada melalui percetakan atau secara dalam talian. 

Daripada Abdullah bin Mas'ud RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya:  "Sesungguhnya di antara tanda-tanda hari kiamat antara lain, mengucap salam kepada orang tertentu, aktiviti jual beli semakin banyak (sehingga seorang isteri membantu suaminya dalam urusan perniagaan), terputusnya tali silaturahim, banyak kesaksian palsu dan tersembunyi kesaksian yang benar serta munculnya pena." (Hadis  Riwayat Al-Albani, hadis  no. 647)

Hadis  di atas merangkumi lima tanda yang digambarkan oleh Baginda Nabi SAW yang menunjukkan kedudukan umat Islam pada akhir zaman iaitu mereka yang hanya memberi salam hanya kepada orang tertentu atau kenalan sahaja, aktiviti perniagaan semakin meluas sehingga isteri berusaha membantu suami dalam berniaga, ikatan sesama Muslim mudah terputus dan banyak berlaku konflik, timbulnya mereka yang menjadi saksi palsu dan saksi yang benar tersembunyi dan yang terakhir munculnya pena atau kemudahan untuk memiliki pena adalah sangat mudah.

Terdapat beberapa pandangan yang terhasil daripada pemahaman hadis berkaitan kemudahan untuk memperoleh alat tulis atau pena. Sebagaimana yang diketahui, pena adalah alat utama dalam menghasilkan sesebuah karya tulisan atau karangan serta simbol pengetahuan. Walaubagaimanapun, perkembangan teknologi memperlihatkan penggunaan 'pena' menerusi komputer dan telefon pintar menjadikan penulisan berlaku dalam tempoh singkat. 

Munculnya pena dalam hadis tersebut juga mengisyaratkan tersebarnya karya serta buku dengan seluas-luasnya sehingga mudah untuk diperoleh walaupun dibatasi jarak yang jauh. Pada saat ini, percetakan buku dihasilkan dalam bilangan yang banyak dalam tempoh singkat berbanding pada zaman dahulu. Hal ini terbukti dengan kewujudan kedai buku di serata dunia sehingga bahan bacaan mudah diperolehi dan dimiliki dengan kadar segera.

Tidak terhenti dengan percetakan sahaja, tersebarnya alat teknologi canggih memperlihatkan pena dan buku telah masuk dalam sistem digital sepenuhnya. Pembentukan ebook menyaksikan karya penulisan dapat diperoleh dengan lebih mudah. Penggunaan ebook ini membolehkan pembaca meneliti karya tersebut melalui peranti seperti telefon pintar dan tablet pada bila-bila masa tanpa perlu membawa helaian atau buku yang berkaitan.

Dalam pada itu, terdapat pandangan lain yang mengatakan fenomena tersebarnya pena bermaksud ilmu pengetahuan yang terdapat pada manusia pada zaman ini cukup tinggi sehingga ramai di antara kita mudah memahami sesuatu ilmu dalam tempoh singkat. Hasilnya, wujud ramai bijak pandai dan ramai juga yang mampu menulis dan menghasilkan karya dalam perbagai disiplin ilmu. 

Allah SWT berfirman maksudnya: "Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah.  Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan.  Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (Surah al-Alaq ayat 3-5)

Konsep Iqra' berdasarkan surah al-Alaq menyeru manusia untuk membaca bagi menambah ilmu pengetahuan. Dengan bertambahnya pengetahuan, sudah pasti manusia dapat membezakan di antara perkara yang hak dan batil. Allah SWT memberi nikmat besar kepada manusia yang membezakan dengan makhluk ciptaan-Nya yang lain iaitu akal. Dengan akal, manusia mampu membaca dan memahami ilmu yang disebarkan melalui pena penulisan sehingga menjadikan manusia makhluk berilmu dan berpengetahuan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat." (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menjelaskan akan wujud ganjaran di akhirat dan karamah (kemuliaan) di dunia. Maka dengan itu, diangkat orang yang beriman daripada orang yang tidak beriman dan orang yang alim daripada orang yang bukan alim. Berkata Ibn Mas'ud RA bahawa Allah SWT memuji ulama di dalam ayat ini iaitu Allah SWT mengangkat orang beriman yang diberi ilmu di atas orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat.

Kewujudan pena berfungsi merakam apa sahaja yang terlintas di fikiran seseorang. Fenomena ini jelas berbeza dengan situasi yang ada pada zaman dahulu iaitu kekurangan pena menyebabkan ilmu yang diperoleh terus dihafal dan melekat dalam dada mereka dan sukar disebarkan. Hari ini, ilmu yang diperoleh disalurkan menerusi penulisan sehingga dapat memberi manfaat yang besar kepada masyarakat di luar sana.

Namun, Yusuf bin Abdullah bin Yusuf al-Wabil menjelaskan dalam kitab Asrat al-Saah, di sebalik perkembangan penulisan ini, banyak pula kebodohan yang muncul di kalangan masyarakat apabila mengambil pemahaman sesuatu penulisan tersebut secara bulat-bulat tanpa meneliti kebenarannya. Perkara ini menjadi semakin parah apabila ilmu berkaitan al-Quran dan as-Sunnah diremehkan. Penulisan yang diperoleh dan dihasilkan menerusi logik akal semata-mata tanpa melihat kepada dua khazanah utama Islam ini.

Kesannya, masyarakat mudah melenting dan melatah apabila sesuatu perkara yang dikhabarkan mengatasi logik akal mereka, walhal perkara tersebut adalah kebenaran daripada al-Quran dan as-Sunah.

Justeru itu, tersebarnya pena penulisan adalah salah satu tanda kiamat. Dengan akal yang dikurniakan Allah SWT kepada manusia, maka pilihlah karya penulisan yang terbaik yang dapat menambah ilmu pengetahuan sekali gus mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Penulis Pensyarah Kanan  Fakulti Pengajian Bahasa Utama,  Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 8:34 AM