SUSPEK (kiri) dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.
SUSPEK (kiri) dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.
Oleh Mohd Rizal Abdullah

Miri: Seorang pegawai penyiasat kanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Miri bagaikan ‘menggali kubur sendiri’ apabila mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan untuk membunuh seorang timbalan pendakwa raya (TPR) yang mengendalikan kes rokok seludup berprofil tinggi membabitkan rampasan bernilai RM33 juta, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Miri Superintendan Stanley Jonathan Ringgit, berkata, suspek yang berpangkat Leftenan itu menghubungi TPR melalui aplikasi WhatsApp, kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin mendesak mangsa menggugurkan pendakwaan terhadap kes berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, mangsa enggan melayan tuntutan itu membuatkan suspek berang lalu memaki hamun dan mengeluarkan kata-kata ugutan untuk mengancam nyawa mangsa.

“Bimbang berlaku perkara tidak diingini mangsa membuat laporan polis pada hari kejadian sebelum suspek ditahan jam 10.30 pagi di sebuah restoran di Waterfront, di sini, semalam.

“Dalam mesej aplikasi WhatsApp dihantar kepada TPR berkenaan, suspek turut mengeluarkan ugutan sama terhadap dua pegawai atasannya iaitu Pegawai Operasi Daerah APMM Miri dan Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Sarawak,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, berdasarkan keterangan TPR, suspek didakwa kononnya ada menghantar gambar mangsa kepada seorang ketua samseng untuk melakukan ancaman itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah yang jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Pada 21 Julai lalu, sebuah kapal kargo membawa enam kontena mengandungi 135,000 karton rokok bernilai RM33 juta ditahan sepasukan anggota dan pegawai APMM di perairan Miri, sekali gus direkodkan sebagai kes penyeludupan terbesar di Sarawak yang ditumpaskan setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2015 @ 5:54 AM