BOT nelayan asing yang ditahan APMM di perairan Miri.
BOT nelayan asing yang ditahan APMM di perairan Miri.
Mohd Rizal Abdullah

Miri: Sekumpulan nelayan asing berputih mata apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Miri kerana menangkap ikan di zon yang tidak dibenarkan di perairan Miri, di sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, empat nelayan warga Indonesia termasuk tekong yang berusia antara 25 sehingga 56 tahun ditahan pada jarak enam batu nautika dari Kuala Baram.

Turut dirampas ikan seberat 1,000 kilogram.

Pengarah Maritim Daerah Miri, Kepten Maritim Md Fauzi Othman berkata, kejadian disedari apabila pasukan Maritim Malaysia ternampak sebuah bot dalam keadaan mencurigakan ketika Op Permai dilaksanakan bermula Ahad lalu.

Menurutnya, bot itu ditahan untuk pemeriksaan sebelum didapati kumpulan nelayan terbabit menjalankan aktiviti menangkap ikan di zon yang tidak dibenarkan.

“Kami turut merampas 1,000 kilogram ikan bernilai RM5,000,” katanya.

Md Fauzi berkata, pemeriksaan lanjut mendapati bot yang digunakan nelayan terbabit adalah milik nelayan tempatan dipercayai disewakan kepada kumpulan nelayan asing itu.

“Semua yang ditahan dibawa ke pejabat APMM Miri untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 4:21 AM