KEADAAN lori dinaiki dua beranak yang terbalik selepas terbabas ke dalam parit di Kilometer 5 Jalan Ranau-Kundasang, berhampiran Kampung Kibas, Ranau.
KEADAAN lori dinaiki dua beranak yang terbalik selepas terbabas ke dalam parit di Kilometer 5 Jalan Ranau-Kundasang, berhampiran Kampung Kibas, Ranau.
Oleh Cleo Will

Ranau: Seorang pemandu lori bersama anaknya terbunuh selepas treler membawa muatan tepung gandum yang mereka naiki hilang kawalan lalu terhumban dalam parit menyebabkan kawasan sekitar diselaputi debu putih di Kilometer 5, Jalan Ranau-Kundasang berhampiran Kampung Kibas, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam, pemandu Yusuf Taking, 48, bersama kelindan yang juga anaknya, Hamid Yusuf, 18, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di seluruh badan selepas tersepit dalam kenderaan terbalik dan remuk.

Difahamkan, ketika kejadian, treler itu dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju Ranau menghantar bekalan kepada pemborong di sekitar daerah berkenaan dan sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan itu dipercayai mengalami masalah brek menyebabkan pemandunya gagal mengawal kenderaan lalu terhumban dalam parit.

Beberapa pengguna jalan raya yang menyedari kejadian itu cuba mengeluarkan dua beranak yang tersepit, namun gagal sebelum menghubungi anggota bomba untuk meminta bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.45 malam dan mengarahkan dua jentera bersama enam anggota ke tempat kejadian.

“Setiba di lokasi kejadian, bomba mendapati sebuah treler dengan semua tayar ke atas berada dalam parit manakala dua mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri tersepit di ruang pemandu.

“Bomba berjaya mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas dalam tempoh dua jam.

“Bagaimanapun, mereka disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan sebelum mayat mereka dibawa ke Hospital Ranau untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2015 @ 5:32 AM