SEBAHAGIAN murid sebelum memulakan peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
SEBAHAGIAN murid sebelum memulakan peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Zatul Iffah Zolkiply


KERAJAAN negeri yakin sasaran 10 peratus daripada 20,273 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) memperoleh 6A di Terengganu dapat dicapai dengan kerjasama semua pihak.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, sebelum ini kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) menyasarkan 20 peratus daripada semua calon UPSR di negeri memperoleh 6A namun sasaran itu diturunkan kerana soalan peperiksaan yang semakin mencabar selain penambahan kertas.

"Hasil kajian dilakukan JPNT, sasaran perlu diturunkan kerana ia lebih realistik dan bersesuaian dengan pencapaian peperiksaan yang dijalankan di sekolah setiap bulan.

"Malah, dalam peperiksaan percubaan UPSR, kita mencapai empat peratus dan keadaan ini adalah biasa memandangkan soalan dalam peperiksaan percubaan lebih mencabar berbanding UPSR sebenar," katanya selepas melawat dan memberi kata-kata semangat kepada 99 calon UPSR di Sekolah Kebangsaan Seberang Takir, Kuala Nerus.

Sebanyak 363 pusat ujian dibuka kepada 20,273 calon di negeri ini dengan enam murid menduduki peperiksaan di hospital kerana pelbagai masalah kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2017 @ 1:19 PM