Ardyhansah Amat - Iskandar Shah Mohamed - Muhaamad Hafis Nawawi - Rudy Syareme Sheriffudin - Shahrinnahar Latib - Balqis Jazimah Zahari - Azira Ahmad Zaidi - Nursyahirah Marzuki - Khairul Najib Asarulah Khan


Keningau: Peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016 di semua 8,100 pusat seluruh negara termasuk di kawasan pedalaman berjalan lancar, hari ini.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, secara keseluruhan seramai 452,721 calon menduduki peperiksaan UPSR tahun ini.

"Setakat ini hanya Sekolah Kebangsaan Bario, Sarawak sahaja yang mengalami masalah selepas terbakar petang semalam.

"Masalah itu berjaya diatasi dan semua 16 calon UPSR dari sekolah berkenaan dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bario bagi membolehkan mereka menduduki peperiksaan sehingga Jumaat ini," katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau melawat 29 calon UPSR di SK Sodomon, Keningau yang mula menduduki peperiksaan seawal 8 pagi tadi.

Katanya, terdapat 44,558 calon UPSR di Sabah.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurop dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Maimunah Suhaibul.

Calon UPSR tahun ini juga menghadapi cabaran tersendiri apabila format baru UPSR yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan diguna pakai buat pertama kali untuk peperiksaan itu.

Di Pulau Pinang, 22,171 murid menduduki UPSR di seluruh negeri, tahun ini.

Pengarah Pendidikan Negeri, Shaari Osman berkata, tahun ini semua calon menduduki enam kertas peperiksaan kesemuanya.

Beliau berkata, kertas peperiksaan diduduki adalah Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (Penulisan dan Permahaman), Matematik dan Sains.

Katanya, turut tidak terkecuali calon-calon murid dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina dan Tamil di seluruh negeri.

"Seramai 7,850 orang murid dari SRJK Cina dan 1,038 orang calon murid dari SRJK Tamil telah menduduki peperiksaan yang bermula sejak Khamis lalu," katanya ketika melakukan tinjauan di Sekolah Kebangsaan Bukit Gambir, Gelugor pagi tadi.

Di Kuantan, 24,159 calon dari 548 sekolah di seluruh Pahang menduduki peperiksaan itu bermula hari ini.

Timbalan Pengarah Pendidikan Pahang Mohd Dzulkifry Nordin berkata, mereka terdiri daripada 19,939 calon Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina (3,126 murid) dan SJK Tamil (535 murid).

“Selain itu, 359 calon dari lima sekolah swasta turut menduduki peperiksaan berkenaan yang akan berakhir Khamis ini,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, daerah Kuantan mempunyai paling ramai calon iaitu 7,705 orang.

Katanya, semua calon terbabit diharap dapat menjawab peperiksaan dengan tenang selain tidak panik.

“Mereka juga diingatkan sentiasa menjaga kesihatan terutama sepanjang peperiksaan berlangsung," katanya.

GURU mengedar kertas peperiksaan kepada murid di dewan peperiksaan di SK Jelapang, Ipoh. FOTO Yahya Zainuddin
GURU mengedar kertas peperiksaan kepada murid di dewan peperiksaan di SK Jelapang, Ipoh. FOTO Yahya Zainuddin

Di Perak, 35,521 calon menduduki UPSR di 869 pusat peperiksaan di negeri ini pada tahun ini.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Rozi Puteh Ismail berkata, daripada jumlah terbabit 24,034 calon dari Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) seramai 8,379 calon, Sekolah Jenis Kebangsaan Jenis Tamil (SJKT) 2,283 dan 825 calon swasta.

Katanya, jumlah berkenaan termasuk 340 calon sekolah pedalaman membabitkan 11 pusat peperiksaan.

"Daripada jumlah berkenaan 10 calon menduduki peperiksaan di lima hospital di negeri ini," katanya pada sidang media di Sekolah Kebangsaan (SK) Jelapang, Taman Meru, di Ipoh hari ini.

Rozi Puteh berkata, 4,886 petugas termasuk penyelia kawasan, ketua pengawas, timbalan ketua pengawas dan pengawas mengendalikan peperiksaan itu.

Katanya, berdasarkan ujian percubaan pada awal tahun, calon menunjukkan peningkatan 49.02 peratus.

"Ini adalah tahun pertama peperiksaan membabitkan enam kertas peperiksaan, jadi kita mensasarkan 70 peratus lulus dalam peperiksaan," katanya.

MURID tenang mengaminkan doa sebelum masuk ke dewan peperiksaan. Seramai 92 calon menduduki Bahasa Melayu Kertas 1 (Pemahaman) di Sekolah Kebangsaan Zainab 2, Kota Bharu. FOTO Zaman Huri Isa
MURID tenang mengaminkan doa sebelum masuk ke dewan peperiksaan. Seramai 92 calon menduduki Bahasa Melayu Kertas 1 (Pemahaman) di Sekolah Kebangsaan Zainab 2, Kota Bharu. FOTO Zaman Huri Isa

Di Kelantan, Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Dr Mohd Khair Yusoff berkata, daripada 30,320 calon menduduki peperiksaan itu di 445 pusat peperiksaan di negeri ini.

"Tinjauan pagi ini bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan untuk melihat kelancaran proses dan tahap kesediaan murid dalam menjawab kertas Bahasa Melayu I dan II, hari ini.

"Setiap sekolah mempunyai cara masing-masing untuk menyuntik semangat murid dan kehadiran kami secara tidak langsung memberi kekuatan kepada mereka untuk lakukan lebih baik," katanya ditemui dk SK Zainab 2, Kota Bharu, pagi tadi.

Mengiringi beliau, Pengarah JPN Kelantan Datuk Ab Aziz Abdullah.

Beliau berkata, tahun ini calon UPSR perlu menduduki enam subjek dengan Bahasa Inggeris (Penulisan) sebagai tambahan.

Katanya, kertas Bahasa Cina dan Tamil sudah dimulakan Khamis lalu.

"Setakat pagi ini juga semua berlangsung baik dan proses penghantaran kertas ujian dari bilik kebal ke tempat peperiksaan juga tiada masalah di semua negeri.

"Kita harapkan ia berterusan baik sehingga UPSR berakhir," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, kaedah menilai prestasi murid tahun enam juga masih menyeluruh dengan empat pentaksiran murid iaitu pendidikan jasmani, pentaksiran sekolah, psikometrik dan juga UPSR.

Di Kedah, 33,169 calon menduduki UPSR di 568 pusat peperiksaan di seluruh negeri.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Datuk Azuyah Hassan berkata, pihaknya turut menyediakan 13 pusat peperiksaan di hospital seluruh daerah termasuk satu pusat peperiksaan di Pusat Pemulihan Akhlak Pokok Sena.

Di Putrajaya, 1,729 calon menduduki subjek Bahasa Melayu kertas Pemahaman dan Penulisan.

Murid terbabit menduduki peperiksaan di 14 sekolah kebangsaan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11(1) mendapati 138 calon hadir dan sesi peperiksaan berjalan dengan lancar.

Calon UPSR di sekolah berkenaan turut membaca doa dan ikrar pelajar sebagai pembakar semangat sebelum mereka mula menjawab soalan di dewan peperiksaan.

Guru tahun enam sekolah itu, Nurulhana Abd Hamid berkata, pihaknya menyediakan roti dan air kepada setiap calon sebelum memasuki dewan peperikasaan bagi memastikan mereka bertenaga untuk menjawab kertas soalan.

"Alhamdulillah, setiap murid sudah bersedia untuk menduduki peperiksaan selama empat hari yang bermula hari ini dan kami sebagai guru sentiasa mendoakan terbaik untuk mereka.

"Saya yakin calon UPSR SK Putrajaya Presint 11(1) mampu menjawab kertas soalan dengan baik malah dapat meningkatkan prestasi dan jumlah calon yang berjaya mendapatkan 6A di sekolah ini," katanya ketika ditemui di sini.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Putrajaya Roaini Jaafar selain ibu bapa calon memberi sokongan kepada anak masing-masing.

Di Selangor, 87,229 calon menduduki peperiksaan ini termasuk 259 calon berkeperluan khas dan 22 calon yang menduduki peperiksaan di hospital, kata Pengarah Pendidikan Selangor Mohd Salleh Mohd Kassim

"Bagi kemudahan calon peperiksaan UPSR tahun ini, 790 pusat peperiksaan di buka di seluruh negeri ini.

"Ia antaranya membabitkan 120 pusat di daerah Klang, Hulu Langat (115); Hulu Selangor (52); Sabak Bernam (48); Gombak (94); Petaling Perdana (116); Sepang (42) dan Petaling Utama (70)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, jumlah calon menunjukkan sedikit peningkatan berbanding 86,928 pada tahun lalu.

MURID Tahun Enam SK Seremban 2B beratur sebelum memasuki dewan peperiksaan. FOTO Hazreen Mohamad
MURID Tahun Enam SK Seremban 2B beratur sebelum memasuki dewan peperiksaan. FOTO Hazreen Mohamad

Di Negeri Sembilan, 16,945 murid tahun enam di negeri ini menduduki UPSR di 356 pusat peperiksaan.

Jumlah itu meliputi 11,849 murid Sekolah Kebangsaan (SK), 3,346 murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), 1,529 murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan 221 murid di sekolah swasta.

Pengarah Pendidikan negeri, Rusni Ab Jalilberkata, daripada jumlah itu, lapan murid terpaksa menduduki peperiksaan di hospital kerana masalah kesihatan.

"Terdapat 47 Calon Keperluan Khas menghadapi masalah pembelajaran, buta, kurang upaya pelbagai, fizikal, pendengaran dan penglihatan.

"Seramai 1,954 petugas peperiksaan terbabit dalam UPSR kali ini dengan 815 daripadanya adalah pengawas peperiksaan,"katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemeriksaan di SK Seremban 2B di Seremban.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2016 @ 1:54 PM
(Dari kiri) Azfar Haruya Amir Syahrul bersama kembarnya Malikah Asna Amir Syahrul dan Nor Nabilah Paisal serta Muhd Azim Paisal, yang juga kawan karib begitu bersemangat bersama pelajar lain sebelum memasuki dewan peperiksaan di SK Jelapang. FOTO Yahya Zainuddin
(Dari kiri) Azfar Haruya Amir Syahrul bersama kembarnya Malikah Asna Amir Syahrul dan Nor Nabilah Paisal serta Muhd Azim Paisal, yang juga kawan karib begitu bersemangat bersama pelajar lain sebelum memasuki dewan peperiksaan di SK Jelapang. FOTO Yahya Zainuddin