ANGGOTA APM Port Dickson sedang membuat rondaan di sekitar pantai Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
ANGGOTA APM Port Dickson sedang membuat rondaan di sekitar pantai Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Orang ramai serta pengunjung ke pantai Port Dickson perlu berhati-hati dengan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku minggu hadapan.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Port Dickson Kapten (PA) Mohamad Azri Abu Hassan berkata, fenomena itu dijangka bermula pada 3 November sehingga 9 November ini.

"Paras air dijangka setinggi 3.2 meter dan keadaan ini turut dibimbangi jika berlaku hujan serentak pada waktu itu.

"Ia boleh menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan rendah di daerah Port Dickson tambahan lagi keadaan sekarang kita sedang berhadapan dengan musim Monsun Timur Laut," katanya ketika dihubungi har ini.

Katanya, penduduk serta pengunjung ke pantai peranginan Port Dickson terutamanya kawasan 'hot spot' perlu sentiasa berhati-hati dengan keadaan ini.

"Keadaan ini boleh menyebabkan banjir kilat dan kita semua perlu sentiasa berwaspada dan pastikan segala dokumen penting ditempatkan pada tempat yang mudah dicapai di samping peralatan elektrik di tempatkan di tempat yang tinggi.

"Bersedia juga dengan pek siaga yang mengandungi makanan, minuman bersih, ubat ubatan, peralatan penting dan segera berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) apabila diarahkan nanti," ujarnya.

Mohamad Azri berkata pengunjung pantai pula dinasihatkan menjaga keselamatan diri dan keluarga ketika melakukan aktiviti riadah di pantai.

"APM Port Dickson akan sentiasa memantau fenomena air pasang besar ini dan berharap tiada kejadian tidak diingini berlaku.

"Kita juga berharap agar orang ramai sentiasa patuhi arahan pihak berkuasa pada sebarang masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 10:38 AM