YUSRI Murni (kanan) mengemas rumah mereka selepas bumbung diterbangkan angin kencang di Felda Chini Empat. FOTO Mohd Rafi Mamat
YUSRI Murni (kanan) mengemas rumah mereka selepas bumbung diterbangkan angin kencang di Felda Chini Empat. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Pekan: Sebanyak 55 rumah termasuk kedai mengalami kerosakan pada bumbung akibat ribut yang melanda di Felda Gugusan Chini, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 7.20 malam itu, sebuah rumah peneroka di Felda Chini Dua turut terbakar dipercayai berlaku litar pintas berikutan disambar petir.

Mangsa Yusri Murni Osmail, 49, berkata kejadian ribut berserta hujan lebat berlaku ketika azan Maghrib berkumandang di Masjid Felda Chini Empat.

Menurutnya, ketika kejadian dia, suami, Che Mazelan Che Amat dan anak mereka berada di kedai makan terletak beberapa meter dari rumah.

Katanya, angin kencang dalam tempoh 10 hingga 15 minit menerbangkan hampir keseluruhan bumbung rumahnya menyebabkan barangan seperti pakaian, perabot dan barang elektrik basah.

"Saya pulang ke rumah selepas ribut dan hujan reda. Hanya Tuhan sahaja mengetahui perasaan saya apabila melihat keseluruhan bumbung rumah diterbangkan angin. "Bumbung rumah saya terangkat dan jatuh di hadapan rumah dalam keadaan berselerak," katanya yang menetap kira-kira 12 tahun di rumah kedai berkenaan.

Katanya, kejadian ribut yang merosakkan rumah penduduk Felda Chini Empat kelmarin berlaku buat kali kedua dalam tempoh tujuh tahun.

Penduduk lain, Latifah Awang, 64, berkata dua unit mesin basuh dan satu unit mesin pengering rosak apabila bumbung kedai dobinya diterbangkan angin kencang menyebabkan hujan masuk ke dalam premisnya.

"Saya tidak menyangka kejadian seburuk ini berlaku di Felda Chini Empat. Dalam sekelip mata banyak harta benda penduduk musnah, selain banyak pokok hiasan juga tumbang.

"Saya terpaksa menyediakan modal tambahan bagi memulakan semula perniagaan dobi. Selepas empat tahun berniaga, ini kejadian terburuk pernah dilalui," katanya yang berharap ada pihak dapat membantunya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 3:39 PM