Oleh Mohd Sabran Md Sani

Kulaijaya: Polis Johor menembak mati dua penjenayah dipercayai warga asing dalam kejadian di sebuah ladang di Bandar Putra, Kulaijaya, 3.45 pagi, hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Rusli berkata, kejadian itu selepas pihaknya menemui sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan.

"Suspek yang menaiki kenderaan disyaki cuba lari daripada polis tetapi dapat dihalang. Seorang suspek kemudian mengeluarkan senapang patah ke arah kenderaan polis.

"Berikutan itu, polis membalas tembakan dan mengenai dua lelaki dan mati di tempat kejadian,” katanya pada sidang media.

Menurutnya, pemeriksaan awal penjenayah terbabit menaiki kenderaan curi yang dikaporkan hilang pada Disember lalu.

"Suspek dipercayai warga asing itu terbabit dalam 17 kes samun sekitar daerah ini.

"Polis merampas senapang patah serta satu kelongsong peluru yang belum digunakan," katanya.

Polis masih memburu dua lagi suspek yang melarikan diri di kawasan berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2015 @ 9:33 AM