Oleh Sarah Zulkifli

Ampang: Seorang bekas pegawai perubatan Hospital Ampang memberitahu Mahkamah Majistret, di sini, semalam bahawa dakwaan isteri penyanyi rock Awie Rozana Misbun yang cedera akibat dipukul suaminya konsisten dengan pemeriksaan terhadap wanita terbabit.

Dr Siti Farah Mazalan yang ketika itu bertugas di Jabatan Kecemasan hospital terbabit berkata, selepas melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas Rozana, 37, beliau mendapati rusuk kesembilan di bahagian kiri serta tulang hidung wanita terbabit patah.

Saksi kelima pendakwaan itu berkata, Rozana datang ke jabatan berkenaan jam 12 tengah malam pada 18 Jun tahun lalu bagi mendapatkan laporan perubatan selepas membuat laporan polis berhubung kejadian dia dipukul Awie.

“Ketika saya mengambil sejarah perubatannya, pesakit (Rozana) mendakwa berlaku salah faham dengan Awie kerana wang dan menceritakan dirinya ditumbuk pada hidung dan muka, selain ditendang pada dada kiri.

“Pesakit mendakwa mengalami pendarahan di telinga kiri dan sakit di bahagian dada kiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene dalam perbicaraan kes berkenaan.

Pada 4 Julai tahun lalu, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 47, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di Mahkamah Majistret, di sini, atas kesalahan menyebabkan kecederaan parah terhadap Rozana di Jalan 9 USB 5, Taman Ukay Bestari, jam 1.30 petang, 2 Jun tahun lalu.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Menurut Siti Farah, selepas selesai pemeriksaan fizikal, beliau meneruskan pemeriksaan dengan menjalankan imbasan X-ray pada tulang tengkorak, tulang hidung, tulang dada dan tulang belakang.

“Hasil keputusan mendapati pesakit mengalami patah tulang hidung dan patah pada kiri tulang rusuk kesembilan,” katanya.

Menurut Siti Farah, hasil pemeriksaan kesan bunyi terhadap pesakit mendapati keadaannya normal.

“Bagaimanapun, pesakit dirujuk kepada pakar di bahagian telinga, hidung dan tekak (ENT) sebelum diminta datang semula ke hospital bagi mendapatkan rawatan pada keesokan harinya,” katanya.

Dalam prosiding sama, ketika disoal balas peguam Hazman Harun yang mewakili Awie, Siti Farah menjelaskan, beliau hanya menulis laporan perubatan berdasarkan pemeriksaan dan aduan dibuat pengadu kepadanya.

Saksi itu turut bersetuju dengan saranan Hazman bahawa kesan lebam dan patah pada rusuk kiri dan hidung pesakit tidak semestinya disebabkan dipukul, sebaliknya mungkin boleh berlaku secara tidak sengaja seperti kemalangan atau terjatuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2015 @ 5:10 AM