DR Ahmad Hafizam hadir untuk inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib di Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini. FOTO Saddam Yusoff
DR Ahmad Hafizam hadir untuk inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib di Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini. FOTO Saddam Yusoff
Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli


PAKAR Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi, menyangkal teori dibentangkan saksi pakar forensik lain dalam prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Saksi inkues ke-24 yang dibenarkan memberikan keterangan semula di Mahkamah Koroner Shah Alam itu berkata, beliau tidak bersetuju dengan teori dikemukakan saksi ke-29, Perunding Kanan Patalogi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid.

“Saya dan saksi ke-27, Ketua Jabatan Forensik HKL, Datuk Dr Mohd Shah Mahmood, tidak bersetuju bahawa Muhammad Adib ditarik dan tersepit antara pintu dan jenang pintu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Struktur pintu dikatakan mengenai dada mangsa adalah sepanjang 28 sentimeter (cm) sedangkan saiz kecederaan di badan mangsa hanyalah 15 cm.

“Saya berpendapat, kecederaan itu jelas sekali tidak berpadanan dengan panjang struktur pintu,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Faten Hadni Khairuddin pada hari ke-32 prosiding inkues kematian Muhammad Adib di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

Beliau yang bertanggungjawab melakukan bedah siasat turut menolak beberapa fakta dikeluarkan Dr Shahrom sebelum ini berhubung formula daya.

“Formula daya untuk mendapatkan impak kecederaan ke atas Muhammad Adib yang digunakan Dr Shahrom adalah tidak tepat.

“Saya mendapati Dr Shahrom berkemungkinan tidak mengambil kira berat van EMRS ketika membuat kiraan formula daya itu.

“Tidak dinafikan, sememangnya formula ini memang digunakan dan selalu digunakan untuk kes membabitkan jatuh dari tempat tinggi,” katanya.

Mengulas lanjut, saksi sama berkata, disebabkan itu, pihaknya tidak memasukkan langsung jarak si mati kerana tidak mengetahui Muhammad Adib jatuh di mana ketika kejadian rusuhan terbabit.

“Namun, berdasarkan kiraan ini, apa yang berlaku sudah cukup kuat untuk patahkan tulang rusuk si mati,” katanya.

Selain itu, Dr Ahmad Hafizam tidak bersetuju dengan Dr Shahrom yang menjelaskan mengenai luka calar siku kiri si mati akibat jatuh ke belakang.

“Ini berikutan luka pada lutut kanan menunjukkan mangsa terjatuh ke hadapan dan luka pada siku kiri boleh terhasil akibat terjatuh ke hadapan.

“Selain itu, isu patah tulang rusuk kanan ketiga dan keempat pada bahagian belakang, apabila saksi ke-29 menyatakan ia disebabkan impak langsung dan menghasilkan patah oblik,” katanya.

Beliau tidak bersetuju dengan hasil dapatan Dr Shahrom itu kerana beliau yang memeriksa kepatahan pada si mati itu dan ia memang patah pilin (berganda) iaitu mekanismanya berpunca daripada pergerakan tulang rusuk ketiga dan keempat disebabkan impak pada bahagian hadapan rusuk terbabit.

Terdahulu, Dr Ahmad Hafizam memaklumkan mahkamah beliau dan Dr Mohd Shah melakukan pemeriksaan semula dan eksperimen dijalankan pada 12 April lalu di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya.

Muhammad Adib, yang juga anggota van EMRS BBP Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember tahun lalu di Institut Jantung Negara.

Prosiding bersambung Selasa depan.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 4:06 PM