AWIE  tiba di Mahkamah Majistret, semalam.
AWIE tiba di Mahkamah Majistret, semalam.
Oleh Sarah Zulkifli

Ampang: Isteri penyanyi rock Awie, Rozana Misbun memberitahu Mahkamah Majistret, di sini, semalam tulang rusuk kirinya patah dua manakala tulang hidungnya retak selepas suaminya itu menendang dan menumbuknya bertubi-tubi selain menghayun monopod ke telinganya di rumah sewa mereka di Taman Ukay Bestari, di sini, tahun lalu.

Rozana berkata, keadaan dirinya itu dimaklumkan doktor di hospital di Taman Desa selepas dia melakukan pemeriksaan kesihatan kerana tidak dapat menahan kesakitan dua hari selepas kejadian dia didakwa dicederakan Awie.

“Saya bercadang mengambil ubat tahan sakit, namun doktor yang memeriksa memberitahu saya perlu ditahan di wad dan saya masuk juga keesokannya bagi mendapatkan rawatan.

“Keputusan ujian X-Ray mendapati hidung saya retak dan tulang rusuk kiri patah dua dan saya meminta pulang semula ke rumah sewa kami empat hari selepas dirawat,” katanya.

Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene, wanita berusia 37 tahun itu berkata, kejadian menimpa dirinya berlaku jam 1.30 tengah hari pada 2 Jun tahun lalu di bilik pembantu rumah itu berpunca daripada perselisihan faham apabila Awie menuduhnya mencuri wang milik penyanyi itu.

Katanya, selepas dia memberitahu Awie wang sudah digunakan bagi perbelanjaan keluarga, penyanyi terbabit terus menumbuknya di bahagian muka bertubi-tubi.

“Saya cuba menahan dengan tangan, namun dia (Awie) memukul saya sehingga terjatuh mengiring ke kanan sebelum saya dipijak dan ditendang bertubi-tubi di badan belah kiri,” katanya yang memberi keterangan di sebalik tabir ketika menjadi saksi perbicaraan kes dihadapi suaminya yang dituduh menyebabkan cedera parah terhadap dirinya.

Pada 4 Julai tahun lalu, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 47, didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Rozana di Jalan 9 USB 5, Taman Ukay Bestari, jam 1.30 petang, 2 Jun tahun lalu.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Rozana berkata, Awie menarik rambutnya dan mengheretnya keluar dari bilik pembantu rumah dan menuju ke ruang tamu sebelum menendangnya sehingga menyebabkan hidungnya berdarah.

“Selepas itu, Awie mengambil monopod dan menghayunkan ke telinga dan saya yang dalam kesakitan yang teramat merayu tidak dipukul lagi sebelum dia berhenti memukul dan memberikannya sapu tangan untuk dilap pada hidung berdarah,” katanya.

Saksi ke-4 pendakwaan itu berkata, Awie memaksanya pergi ke bank walaupun dia enggan memandangkan keadaan dirinya yang cedera, namun dia tetap ditolak masuk ke dalam kereta.

“Kami bertiga termasuk pemandu Awie bernama Khairul Anuar membawa saya ke bank di Ampang dan dipaksa membuat pengeluaran wang RM30,000,” katanya.

Rozana memaklumkan dia dibawa ke sebuah lagi bank di Jalan Tun Razak untuk mengeluarkan wang dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB), namun tidak berjaya kerana terlupa membawa buku hingga menyebabkan Awie menendangnya sekali lagi.

Ketika ditanya Goh mengapa Awie menyuruhnya mengeluarkan wang daripada akaunnya, Rozana berkata, wang itu dimasukkan Awie sebelum ini disebabkan lelaki terbabit bankrap.

Menurutnya, dia pulang ke rumah ibu bapanya di Pantai Hillpark, Bangsar pada 15 Jun tahun lalu selepas tidak tahan dengan penderaan mental dibuat Awie.

“Keluarga saya menyuruh saya membuat laporan dan saya membuat dua laporan polis,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman bersambung 3 Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 10:32 AM