ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan mangsa kemalangan. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan mangsa kemalangan. FOTO Ihsan Bomba.
Ahmad Ismail


Labis: Tiga maut manakala dua cedera dalam nahas membabitkan tiga kenderaan berhampiran Taman Suria, Jalan Labis-Chaah, di sini, semalam.

Kemalangan jam 10.12 malam itu membabitkan kereta Proton Iswara, Hyundai Sonata dan sebuah treler muatan simen.

Mangsa yang meninggal dunia adalah S Pannir Selvam, 56 dan S Meenalatha, 35, yang menaiki Hyundai Sonata, serta berasal dari Johor Bahru.

Seorang lagi yang maut adalah Kamarul Zaman Abdul Shukor, 42 yang memandu Proton Iswara disahkan meninggal dunia di Hospital Daerah Segamat (HDS).

Pegawai operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Labis, Muhammad Hafifie Md Sarif berkata, terdapat seorang lagi penumpang di dalam kereta Hyundai Sonata yang cedera, namun identitinya belum dikenal pasti.

"Seorang lagi mangsa adalah anak lelaki Kamarul Zaman, Mohd Amirul Hakimi yang dilaporkan parah akibat tersepit.

"Sementara itu, pemandu treler berusia 43 tahun selamat," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, Kamarul Zaman dan anak lelakinya berasal dari Felda Keratong 2, Bandar Tun Razak, Pahang.

"Dua pasukan bomba dari BBP Labis dan BBP Bandar Baru Segamat dengan kekuatan 15 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian untuk membantu mengeluarkan mangsa.

"Mangsa yang cedera dihantar ke HDS bagi menerima rawatan, manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 6:13 PM