Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan menggunakan sumbernya untuk mengesan kapal tangki yang hilang bersama 22 kru di 30 batu nautika timur Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor pada Khamis.

Najib berkata, beliau sedih mendengar berita kehilangan kapal tangki itu dan berdoa semoga semua kru dalam kapal itu dalam keadaan selamat.

“Doa saya bersama keluarga masing-masing,” katanya menerusi catatan terbaru beliau dalam laman Twitter dan Facebook semalam.

MT Orkim Harmony membawa 6,000 tan metrik muatan petrol RON95 dalam pelayaran dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan apabila dilaporkan hilang Khamis lalu.

Selain 16 kru warga Malaysia, lima rakyat Indonesia dan seorang warga Myanmar berada dalam kapal tangki itu.

Operasi menjejaki kapal tangki itu dilancarkan dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengerahkan tiga kapal bersama 150 anggota sementara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggunakan sebuah helikopter, tiga kapal dan sebuah bot. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 8:35 AM