Kuala Lumpur: Sidang Dewan Rakyat semalam, kecoh seketika apabila ahli parlimen pembangkang dan kerajaan saling menuduh ketika sesi soal jawab berhubung isu rasional Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggunakan laman web peribadi baru NajibRazak.com bagi menggantikan laman web www.1Malaysia.com.my.

Kekecohan itu bermula selepas Manivanan Gowindasamy (PKR-Kapar) mengemukakan soalan tambahan sama ada laman web baru itu disebabkan Perdana Menteri gagal memasarkan konsep 1Malaysia sekali gus menuduh Najib mahu mengelak daripada kecaman rakyat susulan prestasi Barisan Nasional (BN) yang hilang banyak kerusi dalam pilihan raya lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim yang menjawab soalan itu menempelak pembangkang sambil berkata ‘soalan ini berniat jahat dan BN hilang banyak kerusi disebabkan fitnah dibawa pembangkang’.

Tindakannya itu menyebabkan Khalid Samad (PAS-Shah Alam) bingkas bangun sambil berkata ‘ini lebih jahat daripada soalan tadi’ sebelum suasana kecoh terus berlarutan beberapa minit.

Shahidan sekali lagi menempelak pembangkang dengan menyifatkan Khalid sebagai ‘Ahli Parlimen tak da brek’ berikutannya tindakannya yang tiba-tiba mencelah.

“Shah Alam (Khalid) antara Ahli Parlimen paling suka langgar peraturan mesyuarat. Kita panggil ahli parlimen tak da brek. Dia bangun, dia cakap terus, tak da brek.

“Cuba lihat anggota PAS songkok putih, dia minta kebenaran. Ini Shah Alam bangun dia lajak terus tanpa brek,” katanya.

Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee mengarahkan mereka bertenang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:02 AM