ROSLEE (kanan) menunjukkan dadah dirampas pada sidang media di IPK Pulau Pinang. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.
ROSLEE (kanan) menunjukkan dadah dirampas pada sidang media di IPK Pulau Pinang. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.
Shamsul Munir Safini


DUA beranak antara tiga individu diberkas apabila membawa dadah bernilai RM300,000 dalam tiga serbuan berasingan di Taiping, Perak dan Mak Mandin, Butterworth, Rabu lalu.

Dalam serbuan antara 12.05 tengah hari hingga 4 petang itu, semua ahli sindiket dikenali dengan panggilan ‘blood’ berusia 25 hingga 54 tahun itu dipercayai terbabit dalam kegiatan memproses dadah di Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Roslee Chik berkata, ahli sindiket terdiri daripada seorang lelaki berusia 51 tahun, anak lelakinya berusia 25 tahun dan seorang lagi lelaki berusia 54 tahun.

Beliau berkata, mereka dipercayai membawa semua dadah itu ke Pulau Pinang bagi tujuan proses dan memperolehnya dari tempat lain.

“Mereka yang berasal dari Pulau Pinang itu sebelum ini memasak dadah di Taiping dengan bantuan lelaki berusia 54 tahun berkenaan dan dalam proses memindahkan operasi mereka ke negeri ini.

“Sindiket membawa semua dadah jenis heroin, pil ekstasi dan syabu itu ke Seberang Perai Utara (SPU) bagi tujuan proses selanjutnya dan dipercayai mahu diedarkan di beberapa kawasan di Perak dan Pulau Pinang.

“Dalam serbuan itu, polis merampas peralatan memproses dadah heroin,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

Roslee berkata, ketiga-tiga suspek mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.

Menurutnya, suspek berusia 51 tahun mempunyai 10 rekod membabitkan jenayah manakala anaknya tiga rekod dan seorang lagi suspek mempunyai empat rekod lampau.

“Risikan dijalankan mendapati sindiket itu baru sahaja beroperasi dan dalam proses menjadikan Pulau Pinang sebagai lubuk aktiviti mereka.

“Dadah dirampas membabitkan heroin seberat 12,1 kilogram (kg), syabu 95.4 gram (g), 760 biji pil ekstasi dan kafein 2.2kg,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, usaha mengesan saki baki sindiket akan terus dijalankan dan memohon kerjasama daripada orang ramai bagi menyalurkan maklumat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 10:52 PM