Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) diarah melakukan siasatan terperinci punca tahanan lari dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, awal pagi hari ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, semua 528 tahanan yang melarikan diri itu adalah pelarian etnik Rohingya yang dipindahkan dari Kem Wawasan Langkawi selepas ditangkap menceroboh perairan negara pada 2020.

"Sehingga kenyataan ini, 382 tahanan sudah ditahan semula oleh pihak PDRM dan semua agensi penguatkuasaan di bawah KDN dikerahkan dalam operasi bersepadu bagi menahan semula kesemua tahanan yang melarikan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, semua pihak termasuk warga asing yang berada di negara ini perlu mematuhi undang-undang yang diperuntukkan.

Tegasnya, Malaysia adalah negara yang tidak mengiktiraf status pelarian dan keberadaan pelarian dalam negara adalah hanya atas dasar kemanusiaan.

"Bagi memelihara kedaulatan dan kepentingan rakyat Malaysia, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil kepada mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara," katanya.

Dalam kejadian pagi tadi, tahanan berkenaan meloloskan diri difahamkan selepas berlaku rusuhan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 6:52 PM
POLIS menahan kenderaan di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Sungai Jawi susulan kejadian tahanan lari dari depot imigresen. FOTO Danial Saad.
POLIS menahan kenderaan di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Sungai Jawi susulan kejadian tahanan lari dari depot imigresen. FOTO Danial Saad.