Songkhla: Lebih banyak kem tahanan dan perkuburan membabitkan etnik Rohingya dari Myanmar dan warga Bangladesh akan ditemui di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Perkara itu ditegaskan Presiden Pertubuhan Hak Asasi Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MEHROM) Zafar Ahmad Abdul Ghani ketika dihubungi wartawan Harian Metro, di sini, semalam.

Menurutnya, dia yakin mengenai penemuan itu sekiranya kerajaan Malaysia dan Thailand lebih serius membongkar isu kemanusiaan serantau itu.

“Saya yakin dengan maklumat yang diperoleh hasil siasatan dilakukan kepada etnik Rohingya yang berjaya lolos ke Malaysia.

“Kawasan sempadan yang berkemungkinan mempunyai kem tahanan dan perkuburan adalah Danok, Padang Besar, Tak Bai dan Hatyai. Ini kerana mereka (pelarian) mendakwa ditahan di kawasan berkenaan sebelum diseludup ke Malaysia,” katanya.

Zafar berkata, selain kebanyakan pelarian etnik Rohingya dipaksa membayar jumlah tertentu sebagai kos untuk dibawa ke Malaysia, terdapat juga aduan mengatakan mereka ditipu.

“Seperti semua maklum, disebabkan etnik Rohingya ditindas dan dibunuh di negara sendiri, ada segelintir pihak mendatangi mereka menawarkan kehidupan yang lebih baik.

“Ejen ini akan menawarkan pekerjaan mereka sebelum dibawa ke Malaysia. Namun, ketika dalam perjalanan ataupun ditahan ejen, mereka dipukul dan diseksa. Malah ada mangsa wanita mendakwa turut dirogol.

“Ejen ini akan menghubungi keluarga pelarian yang ditahan mereka sebelum meminta wang tebusan antara RM7,000 hingga RM8,000. Jika tidak, ejen akan pukul dan menyeksa pelarian yang ditahan,” katanya.

Katanya, dia menggesa kerajaan Malaysia dan Thailand supaya lebih serius memerangi kegiatan ini kerana dia yakin masih ramai rakan senegaranya diperdagangkan sindiket.

Ditanya bagaimana layanan pelarian etnik Rohingya di Thailand dan Malaysia, Zafar berkata, setakat ini dia belum berpuas hati dengan layanan diterima.

Menurutnya, kerajaan Thailand contohnya, hanya baru sekarang memerangi kegiatan ini selepas didedahkan pihak media di sana.

“Sebelum ini, mereka seolah-olah acuh tidak acuh dengan kegiatan penyeludupan manusia kerana ia bukan saja membabitkan golongan biasa sebaliknya penguat kuasa dan ahli politik.

“Buktinya, datuk bandar di kawasan di Thailand turut ditahan polis selain penahanan puluhan anggota dan pegawai penguat kuasa di negara gajah putih itu yang disyaki menjadi dalang dalam kegiatan berkenaan,” katanya.

Katanya, dia bagaimanapun tetap berterima kasih kepada kerajaan Junta Thailand yang sekarang dilihat komited memerangi kegiatan berkenaan.

“Harapan saya kerajaan Malaysia juga begitu. Untuk usaha itu, saya ucapkan terima kasih dan tahniah kepada kerajaan Thailand,” katanya.

Zafar berkata, hanya satu permintaan pihaknya kepada kerajaan Malaysia iaitu supaya lebih terbuka lagi untuk memperjuangkan nasib rakan seagama.

“Berilah kami peluang...jika bukan kerana krisis di negara sendiri sehingga dibunuh, mustahil ribuan etnik Rohingya akan melarikan diri ke Malaysia untuk mendapatkan perlindungan.

“Lagipun Malaysia kini mengetuai ASEAN, saya harap ada suara daripada pihak kerajaan Malaysia yang memperjuangkan nasib kami di peringkat berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 10:03 AM