Ipoh: “Jika benar tindakan itu dilakukan oleh anak muda beragama Islam dan tulisan itu ditulis mereka untuk memuja, jelas ia adalah perbuatan khurafat yang bertentangan dengan ajaran Islam,” jelas Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.

Harussani berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan Harian Metro, semalam mengenai tindakan sekumpulan anak muda yang disyaki melakukan kegiatan khurafat termasuk ritual pemujaan dengan diketuai individu dikenali sebagai Bubuk.

Kumpulan anak muda lelaki dan wanita itu dikatakan berkumpul di bangunan terbabit setiap kali waktu malam bulan mengambang dan ritual pemujaan dilakukan sambil diiringi muzik ‘heavy metal’.

Kegiatan khurafat itu terbongkar hasil pemeriksaan Jabatan Agama Islam Daerah Manjung ke premis berkenaan yang terletak di Jalan Sultan Idris Shah, Lumut, berhadapan Balai Polis Lumut.

Menurut Harussani, pihak berwajib harus mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah itu dan mengenal pasti individu yang menjadi dalang dalam perbuatan khurafat itu.

“Pihak berwajib harus ambil tindakan segera supaya masalah itu tidak berterusan dan dibanteras secara bersama,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2015 @ 5:26 AM