Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Golongan mak nyah yang ingin bertaubat perlu membuang segala perbuatan khurafat yang diamalkan terlebih dulu, antaranya pemakaian tangkal, pemujaan dan susuk bagi membolehkan mereka membersihkan diri sebelum memulakan penghijrahan ke arah kebaikan.

Itu nasihat kaunselor yang juga bekas mak nyah, Mohd Khariri Ramli, 37, yang menyarankan kepada golongan itu supaya meninggalkan perbuatan khurafat, sekali gus menyucikan diri daripada perkara yang mensyirikkan Allah.

Beliau yang juga fasilitator dalam membimbing golongan mak nyah berkata, penghijrahan aspek rohani atau dalaman perlu dilakukan dengan mendekatkan diri dengan Tuhan serta memperbanyakkan ibadat.

“Saya tidak nafikan mungkin ada segelintir mak nyah yang langsung tidak mengetahui hukum-hakam agama. Jadi, saya sarankan kepada mereka supaya pergi ke masjid atau mana-mana pusat pengajian agama untuk menimba ilmu.

“Perubahan aspek rohani akan membawa kepada perubahan fizikal secara tidak langsung. Dalam kebanyakan bimbingan, saya menekankan aspek ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Harian Metro semalam melaporkan segelintir mak nyah sanggup menanam susuk pada beberapa bahagian sendi semata-mata ingin mendapat perhatian lelaki dan membuatkan mereka bergerak persis wanita tulen.

Penggunaan susuk lemah sendi itu didedahkan oleh seorang mak nyah dikenali sebagai Salleh, 56, yang pernah menggunakan susuk itu 30 tahun lalu semata-mata ingin memenuhi impiannya menjadi seperti wanita.

Mohd Khariri turut mengakui kebanyakan golongan mak nyah mempunyai ‘daya penarik’ kerana memakai pelbagai ritual amalan khurafat terutamanya tangkal dan susuk untuk melariskan diri.

Menurutnya, ritual khurafat itu pernah diamalkan dirinya, namun dia membuang segala amalan songsang itu selepas kembali ke pangkal jalan dan mendalami agama.

“Saya nasihatkan kepada golongan mak nyah yang ingin kembali ke pangkal jalan supaya kuat dan berazam untuk meninggalkan segala perbuatan songsang termasuk ritual khurafat.

“Pengamalannya bukan saja memakan diri, malah turut bertentangan dengan syarak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 8:05 AM