KETUA Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Rahimin Bani meninjau lokasi yang dijadikan tempat pemujaan di Pulau Besar. FOTO Amir Mamat
KETUA Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Rahimin Bani meninjau lokasi yang dijadikan tempat pemujaan di Pulau Besar. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


JABATAN Agama Islam Melaka (JAIM) menafikan dakwaan terdapat usaha pihak tertentu membina kuil di kawasan perkuburan Tujuh Beradik di Pulau Besar, Melaka, seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM, Datuk Rahimin Bani berkata, ini kerana pihaknya bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan tiada sebarang binaan dibangunkan di kawasan terbabit.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang membina sebarang bangunan di sekitar Pulau Besar tanpa mendapat kebenaran pihak berkuasa.

“JAIM kesal dengan laporan yang tular di media sosial menyatakan ada kegiatan pembinaan kuil di Pulau Besar, ia tidak benar.

“Sebarang binaan yang dibuat tanpa kebenaran dan menyalahi undang-undang akan dimusnahkan segera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kelmarin, tular di media sosial mengenai terdapat usaha membina kuil kecil di kubur Tujuh Beradik, kubur kerabat Panglima Lidah Hitam dan beberapa kubur golongan alim dengan memasang colok bagi tujuan pemujaan.

Rahimin yang turun padang sejurus menerima laporan berkenaan, hanya mendapati kegiatan memasang colok, setanggi dan menabur bunga dipercayai dilakukan pihak tertentu untuk aktiviti pemujaan pokok, batu, kubur dan beberapa lagi objek.

Sehubungan itu, katanya, JAIM sentiasa membuat pemantauan di kawasan tumpuan di Pulau Besar bagi memastikan kegiatan khurafat tidak terus berlaku.

Pada masa sama, beliau mengingatkan pengunjung bukan Islam supaya tidak melakukan kegiatan ritual keagamaan di kawasan terbabit.

“Bagi orang Islam yang melakukan perbuatan pemujaan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 69 Akta Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih 18 bulan atau kedua-duanya sekali.

“Justeru, tindakan bersepadu bersama agensi penguatkuasa lain akan terus dijalankan bagi mengelakkan Pulau Besar tercemar dengan kegiatan negatif seperti pemujaan, penyalahgunaan dadah serta penempatan secara haram,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 2:11 PM