Kuala Lumpur: Individu dikenali sebagai Bubuk yang mengetuai ritual pemujaan di sebuah bangunan terbiar di Jalan Sultan Idris Shah, Lumut, Perak sebenarnya hanya mahu dilihat gagah dan hebat dalam kalangan pengikut serta orang sekelilingnya.

Mengulas berkaitan perkara itu, Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia Johor Mohamad Halimi Kolan berkata, pemujaan dilakukan setiap kali malam bulan mengambang itu sebenarnya hanya untuk kepuasan diri Bubuk saja.

“Bubuk mahu dilihat hebat serta gagah dan kerana itu, dia membawa bersama pengikutnya bagi melakukan ritual di lokasi berkenaan diiringi muzik ‘heavy metal’.

“Pada masa sama, Bubuk juga mungkin bertawasul atau mengikat janji dengan syaitan bagi memperoleh sesuatu hajat seperti kekayaan atau kuasa,” katanya.

Mohamad Halimi mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam berkaitan aktiviti pemujaan sekumpulan lelaki serta wanita diketuai Bubuk yang dikesan Jabatan Agama Islam Daerah Manjung.

Dinding bangunan terbiar tempat pemujaan dijalankan turut diconteng dengan pelbagai gambar serta perkataan yang menyimpang daripada ajaran Islam.

Menurut Mohamad Halimi, Bubuk dan kumpulannya pasti tahu apa yang mereka lakukan menyalahi hukum agama, namun tetap meneruskannya kerana sudah terlalu taksub dengannya.

“Mereka mahu lakukan perkara yang di luar kebiasaan seperti memuja atau membuat perjanjian dengan syaitan dan kerana itu, mereka mahu menerokanya dengan cara yang ekstrem.

“Mungkin mereka tidak sedar bahawa satu hari nanti, mereka terpaksa membayar harga yang tinggi, seperti mengelar leher sendiri, apabila perjanjian dengan syaitan terbabit gagal dipatuhi,” katanya.

Mohamad Halimi menasihatkan Bubuk serta pengikutnya segera bertaubat kerana apa yang dilakukan sudah jauh menyimpang daripada agama Islam selain mendatangkan kemudaratan pada diri sendiri.

“Pintu taubat sentiasa terbuka dan lebih baik lakukan perkara yang berfaedah. Tidak perlu memuja syaitan atau individu kerana tiada kebaikan yang diperoleh jika melakukannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2015 @ 5:26 AM