MAZLAN ketika sidang media. FOTO Bernama
MAZLAN ketika sidang media. FOTO Bernama
BERNAMA

Yan: Hampir 100 peratus pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim.

Beliau berkata, setakat ini hanya sebilangan kecil warga PDRM belum menerima suntikan vaksin berkenaan disebabkan faktor kesihatan selain masih menunggu tarikh janji temu.

"Ada anggota tak mau vaksin sebab (alami) alahan dan ada masalah kesihatan yang ada laporan doktor... (dalam pengetahuan beliau) tiada anggota dan pegawai yang menolak vaksin tanpa sebab. Saya ingat semua akan ambil (vaksin), tiada masalah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Outreach Psikologi dan Spiritual Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM kepada warga kerja serta pesara PDRM yang terlibat bencana banjir akibat fenonema kepala air di Yan pada 18 Ogos lepas di sini hari ini.

Pada majlis itu 16 penerima wakalah zakat PDRM termasuk warga kerja Ibu Pejabat Polis Daerah Yan dan pesara PDRM yang terjejas dengan bencana itu menerima zakat dengan setiap seorang memperoleh wang tunai RM1,000 bersama bekalan makanan bernilai RM100.

Sementara itu, Mazlan menasihatkan rakyat yang belum mendaftar dan menerima suntikan vaksin Covid-19 supaya berbuat demikian demi meningkatkan sistem imunisasi diri masing-masing dalam usaha melindungi diri daripada jangkitan wabak itu sekali gus memudahkan urusan seharian.

"Pada masa sama juga diperlukan (vaksin Covid-19) dalam mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang kini banyak kemudahan untuk mereka yang lengkap (suntikan) vaksin termasuk nanti untuk rentas negeri dan daerah," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata PDRM akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam negeri dalam usaha membanteras aktiviti pemujaan dan khurafat yang dikesan berlaku di kawasan Gunung Jerai.

"Pemantauan memang polis buat tetapi dari segi tindakan penguatkuasaan kena ada pengesahan daripada pihak Jabatan Agama Islam sebab di bawah mereka (penguatkuasaan), kita akan membantu dalam isu ini," katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) Idris Ahmad meminta segala aktiviti pemujaan dan khurafat yang dikesan berlaku di kawasan itu dihentikan segera memandangkan ia bertentangan dengan ajaran Islam serta boleh merosakkan akidah.

Beliau dipetik sebagai berkata, kegiatan itu juga boleh mengundang bala kepada masyarakat kerana bukan sahaja pelaku akan menerima kesan malah akan melibatkan keseluruhan penduduk sekitar kawasan berkenaan.

22 Ogos lalu, sebuah akhbar tempatan melaporkan penduduk yang tinggal berhampiran Gunung Jerai mengharapkan segala aktiviti pemujaan dan khurafat di kawasan itu dapat dihentikan dan dibersihkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 4:55 PM