Izlaily Nurul Ain Hussein

Kota Tinggi: Laporan makmal mengenai punca kematian murid tahun satu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Chien Chi di Plentong, Pasir Gudang, yang dikaitkan dengan gejala penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), dijangka siap minggu depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor Datuk Ayub Rahmat berkata, pihaknya masih menunggu laporan makmal sebelum mengesahkan sama ada kematian kanak-kanak itu akibat wabak HFMD atau sebab lain.

“Setakat ini, wabak HFMD terkawal, tetapi saya percaya ia menyebabkan panik kepada ibu bapa berikutan satu kematian dilaporkan ada kaitan dengan wabak berkenaan.

“Namun, sebagai langkah pencegahan kita meminta ibu bapa serta sekolah mengambil langkah perlu termasuk menasihatkan murid sentiasa mencuci tangan bagi mengurangkan kemungkinan jangkitan virus ini,” katanya selepas melancarkan kempen Jom Ganyang Aedes di Felda Sungai Mas di sini, semalam.

Beliau berkata, HFMD adalah fenomena biasa yang mudah dialami kanak-kanak, terutama bawah lima tahun.

Katanya, pada 2014, Johor mencatatkan 500 kes HFMD namun tidak membabitkan kematian.

“Walaupun ia kes biasa, namun diingatkan supaya sentiasa menjaga persekitaran daripada habuk dan kerap mencuci tangan,” katanya.

Ayub berkata, individu bawah usia 15 tahun serta warga emas perlu berjaga-jaga kerana mereka berisiko dijangkiti wabak HFMD, bergantung pada tahap kesihatan serta imun badan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 10:30 AM