GURU Bahasa Cina, Cho Liu Ing  menunjukkan cara mencuci tangan dengan betul menggunakan cecair antiseptik kepada pelajarnya, semalam.
GURU Bahasa Cina, Cho Liu Ing menunjukkan cara mencuci tangan dengan betul menggunakan cecair antiseptik kepada pelajarnya, semalam.

Johor Bahru: Susulan 12 murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Chien Chi di Plentong, Pasir Gudang di sini, dikesan mengalami gejala penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), ramai ibu bapa mengambil keputusan tidak menghantar anak ke sekolah.

Guru Besarnya, Peh Hun Kee berkata, situasi yang ditempuh pengurusan sekolah berbeza sejak kematian murid perempuan tahun satu pada 10 April lalu.

Katanya, keadaan itu menyebabkan segelintir ibu bapa menjadi panik hingga ada mengambil keputusan tidak menghantar anak ke sekolah kerana khuatir dijangkiti wabak itu.

Katanya, ketidakhadiran murid SRJKC Chien Chi, ialah empat peratus kelmarin dan jumlah itu meningkat, semalam.

“Pihak sekolah menasihatkan ibu bapa tidak panik dan menghantar anak ke sekolah agar prestasi pendidikan mereka tidak terjejas.

“Jika keadaan tidak terkawal, sudah tentu pihak sekolah sudah mendapat arahan daripada pihak berkuasa untuk menangguhkan sesi persekolahan dan kami akan maklumkannya kepada ibu bapa,” katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, sekolah berkenaan mempunyai 2,300 murid dan setakat ini, 249 murid sudah menjalani saringan kesihatan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor, kelmarin.

Peh berkata, hasil saringan itu, 12 murid dikesan mengalami simptom HFMD kerana mempunyai bintik merah pada tubuh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 9:47 AM