Ahmad Zaini Kamaruzzaman
Ahmad Zaini Kamaruzzaman
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH) Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dilantik sebagai Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), berkuat kuasa hari ini.

Beliau mengambil alih tugasan berkenaan hari ini di samping mengekalkan peranannya sebagai Pengarang Kumpulan BH.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad Rafiq Razali berkata, syarikat mengalu-alukan pelantikan Ahmad Zaini dalam memimpin NSTP.

"Seorang wartawan yang dihormati dan berpengalaman tinggi, Ahmad Zaini akan terus memberikan kepimpinan yang terbaik kepada pasukan editorial BH, Harian Metro (HM) dan New Straits Times (NST).

"Kami yakin pelantikan ini membawa kepada peralihan lancar kerana beliau sudah lama bersama Kumpulan dan aktif dalam usaha transformasi perniagaan di NSTP," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Ahmad Zaini yang kini berusia 59 tahun, memulakan kariernya sebagai wartawan bersama Bernama pada 1984.

Beliau menyertai BH pada 1991 dan pernah menyandang pelbagai jawatan dalam NSTP termasuk Ketua Biro Kedah, Penolong Pengarang Berita, Pengarang Berita, Ketua Pengarang Berita, Pengarang Bersekutu Berita dan Digital, Pengarang Eksekutif Berita dan Editor Eksekutif Hal Ehwal Komersial dan Semasa.

NSTP yang Ditubuhkan pada 1845 adalah penerbit berita terbesar Malaysia dengan tiga jenama berita terkemuka NST, BH dan HM.

BH dan HM juga adalah dua portal berita secara talian yang mempunyai capaian tertinggi di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 5:28 PM