Rembau: Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan melaksanakan segera semakan gaji terhadap 252 skim perkhidmatan seperti diumumkan dalam pembentangan Bajet 2015, Oktober tahun lalu.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata, pelaksanaan berkenaan tidak boleh ditangguhkan lagi memandangkan kos sara hidup semakin meningkat dan pihaknya tidak teragak-agak mengadakan bantahan ke seluruh negeri jika tuntutan berkenaan ditangguhkan lagi.

“Kami memahami kedudukan ekonomi ketika ini tidak menentu, namun kerajaan tidak boleh menggunakan penanda aras ini untuk mengabaikan tuntutan berkenaan kerana penjawat awam menunggu terlalu lama,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke pejabat sementara Pejabat Daerah Rembau, semalam.

Katanya, kerajaan berhasrat mencapai negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020, namun pendapatan penjawat awam masih di paras rendah.

“Gaji penjawat awam Kumpulan Pelaksana 1 dan II serta kumpulan menengah masing-masing RM805 dan RM820 iaitu di bawah garis kemiskinan yang ditetapkan pada RM880,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2015 @ 5:32 AM