ZEE Kin menerima brownie daripada Mak Ngah di rumahnya di Taman Patani Jaya.
ZEE Kin menerima brownie daripada Mak Ngah di rumahnya di Taman Patani Jaya.
Oleh Nurul Huda Kosnon

Kuala Lumpur: “Mak Ngah sangat baik dan hubungan kami sekeluarga dengan dia sangat rapat sejak kami berpindah ke Taman Patani Jaya, Sungai Petani, hampir 20 tahun lalu.

“Susah nak dapat jiran sepertinya yang bukan saja ‘ringan tulang’, malah mudah mesra. Ia membuatkan kami terasa seperti keluarga dengannya,” kata Tai Zee Kin, 27, yang terharu dengan sikap Nariman Ahmad, 62, atau lebih mesra dipanggik Mak Ngah yang menyediakan brownie untuk keluarganya sempena Tahun Baru Cina kali ini.

Semalam, gambar Zee Kin menerima brownie daripada Mak Ngah mendapat lebih 9,000 ‘like’ di akaun Facebook milik pemuda Cina itu.

Status akaun laman sosial Zee Kin itu berbunyi ‘My neighbour the beloved Mak Ngah decided to bake us Brownie cake for Chinese New Year. Mak Ngah has a very special relationship with us...’

Zee Kin ketika dihubungi di Sungai Petani, berkata sejak usianya masih kecil, Mak Ngah sudahpun menyediakan nasi lemak buat bekalannya ke sekolah.

“Kegemaran Mak Ngah adalah memasak. Apa saja yang dia masak, kami juga akan dapat merasanya. Antara masakan menjadi kegemaran saya sekeluarga adalah lontong dan rendang,” katanya.

Tai sekeluarga sebelum ini menetap di ibu negara dan Pulau Pinang, namun berpindah ke Sungai Petani, Kedah, iaitu ketika usianya lapan tahun.

Menurutnya, Mak Ngah dan suami, Mohd Idris Rei, 63, banyak mendedahkan dirinya dengan budaya, adat dan masakan tradisional masyarakat Melayu.

“Kalau ada kenduri kahwin masyarakat Melayu, Mak Ngah akan membawa saya dan adik beradik lain bersama mereka. Ia mengeratkan lagi perpaduan antara kaum. Apabila kami tiada di rumah, Mak Ngah dan suaminya akan tolong mengawasi kediaman supaya tidak berlaku sesuatu yang diingini,” katanya.

Sementara itu, Mak Ngah ketika dihubungi berkata: “Saya memang suka memasak.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 5:19 AM