Muhyiddin pada Majlis Perjumpaan Bersama Rakyat di Dewan Suarah, Bau.
Muhyiddin pada Majlis Perjumpaan Bersama Rakyat di Dewan Suarah, Bau.

Bau: Kerajaan Pusat memperuntukkan sejumlah RM200 juta bagi membantu mangsa banjir termasuk membaik pulih serta membina rumah baru di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan itu meliputi pemberian wang ehsan berjumlah RM500 kepada 80,000 keluarga dengan keseluruhan diperuntukkan berjumlah RM40 juta.

“Selain wang ehsan, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM150 juta untuk membina 3,000 rumah baru bagi mangsa banjir kehilangan tempat berteduh. Kos pembinaan bagi setiap rumah baru dianggarkan bernilai antara RM48,000 hingga RM50,000.

“Bagi mangsa mengalami kerosakan rumah akibat musibah ini, ia membabitkan 10,000 rumah dengan kos diperuntukkan adalah sebanyak RM10 juta. Ini termasuklah membeli bahan binaan bagi kontraktor membaik pulih rumah terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat serta Penyampaian Wang Ehsan kepada mangsa banjir di Dewan Suarah Bau, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Openg serta beberapa kepimpinan pusat dan negeri.

Pada Majlis itu, seramai 81 keluarga mangsa banjir dari daerah Bau menerima bantuan wang ehsan masing-masing RM500.

Terdahulu, Muhyiddin menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Kolaborasi Strategik Kolej Komuniti Wilayah Sarawak bersama Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dan Industri Berimpak Tinggi di Samariang, dekat sini.

Muhyiddin berkata, di Sarawak sehingga 10 Februari lalu, jumlah keseluruhan mereka terbabit banjir adalah 73,103 orang terdiri 15,116 keluarga namun 14,996 mangsa daripada 4,089 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:31 AM