Muhyiddin bertanya khabar kepada mangsa banjir, Nik Hazran Nizam Teh Seman, 49, ketika membuat lawatan di PPS di Sekolah SMK Seberang Temerloh hari ini. FOTO Bernama
Muhyiddin bertanya khabar kepada mangsa banjir, Nik Hazran Nizam Teh Seman, 49, ketika membuat lawatan di PPS di Sekolah SMK Seberang Temerloh hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu bekerjasama bagi memastikan kebajikan mangsa banjir tidak hanya terbatas dari segi penyediaan bekalan keperluan harian semasa berada di pusat pemindahan sementara (PPS) sahaja, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata sebaliknya, usaha itu perlu diteruskan sehingga satu tempoh yang sesuai selepas mereka pulang ke rumah masing-masing.

"Hal sama turut melibatkan aspek lain seperti membaik pulih kediaman mereka yang rosak dan langkah ini untuk memastikan mangsa tidak terus berada dalam keadaan trauma akibat musibah," katanya menerusi catatan di laman Facebook.

Muhyiddin hari ini meninjau keadaan banjir selain menyantuni mangsa di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh di Temerloh dan SMK Tengku Ampuan Afzan, Chenor, Maran berkata pejabat daerah, pihak berkuasa tempatan serta agensi kerajaan negeri dan persekutuan telah diminta untuk segera menumpukan usaha membaik pulih infrastruktur yang rosak teruk akibat banjir seperti jalan raya, masjid dan sekolah.

Katanya, beliau bertemu mangsa banjir termasuk warga emas yang berlindung di PPS untuk bertanyakan keadaan kesihatan mereka dan memastikan kebajikan mereka terjaga.

"Alhamdulillah mereka baik-baik sahaja, malah ada yang ditemui mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan PPS dengan kemudahan memuaskan di samping petugas yang sentiasa memastikan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan Covid-19," katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, beliau telah mengarahkan pengurusan PPS dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) supaya menyediakan dua khemah kepada keluarga yang mempunyai lebih daripada enam orang bagi menjamin keselesaan kepada mereka sepanjang berada di pusat penempatan itu.

Menerusi catatan itu, Perdana Menteri turut mendoakan agar semua mangsa banjir seluruh negara terhindar daripada sebarang penyakit dan pulang ke rumah masing-masing dalam keadaan sihat.

Lawatan Muhyiddin turut disertai Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Pengarah Nadma Datuk Dr Aminuddin Hassim serta pegawai kanan agensi berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 10:34 PM