TINJAUAN kejadian banjir di kawasan Tebakang Dayak dan Tebakan Melayu, berhampiran sempadan Tebedu, Serian, baru-baru ini, FOTO NADIM BOKHARI
TINJAUAN kejadian banjir di kawasan Tebakang Dayak dan Tebakan Melayu, berhampiran sempadan Tebedu, Serian, baru-baru ini, FOTO NADIM BOKHARI
Amir Mamat


Melaka: Kerajaan meluluskan peruntukan RM10 juta bagi membantu penduduk terjejas akibat banjir di seluruh negara menerusi Bantuan Wang Ihsan Mangsa Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) 2020/2021.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, bantuan diperuntukkan menerusi Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) itu akan disegerakan bagi membantu meringankan beban rakyat terkesan semasa MTL.

Beliau berkata, wang ihsan terbabit akan disalurkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

"Ketika ini, negara masih berada dalam fasa MTL yang dijangka berakhir pada pertengahan bulan depan dan sekiranya peruntukan awal itu tidak mencukupi kerana terdapat pertambahan mangsa dalam kejadian banjir, JPBN boleh memohon peruntukan tambahan berdasarkan jumlah sebenar keluarga disahkan.

"Kerajaan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sedia menyalurkan peruntukan tambahan kepada negeri menghadapi kekurangan sumbangan terbabit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Redzuan berkata, berdasarkan laporan keseluruhan bencana banjir MTL 2020/2021 daripada Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), bilangan mangsa bencana di seluruh negara direkodkan sejak 11 November tahun lalu sehingga 14 Januari lalu, dianggarkan 20,341 keluarga.

Beliau berkata, sehubungan itu, Nadma akan mempercepatkan proses pengagihan bantuan wang ihsan itu bagi membantu meringankan beban mangsa melalui kerajaan negeri.

"Setiap keluarga akan menerima wang ihsan sebanyak RM500 selain RM5,000 bagi keluarga kematian ahli keluarga akibat banjir.

"Berdasarkan rekod diperoleh, Perak akan menerima RM389,500, diikuti Selangor (RM88,000), Johor (RM1.4 juta), Pahang (RM4.4 juta), Terengganu (RM2 juta), Kelantan (RM1 juta), Sabah (RM396,500), Sarawak (RM214,000), Kedah (RM112,500), Melaka (RM119,500), Wilayah Persekutuan Labuan (RM27,000), Negeri Sembilan (RM7,000) dan Pulau Pinang (RM5,500)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 9:04 PM