Mohd Mokhtar (dua dari kiri) menunjukkan dadah serta wang tunai yang dirampas daripada pengedar dadah di IPK Johor.
Mohd Mokhtar (dua dari kiri) menunjukkan dadah serta wang tunai yang dirampas daripada pengedar dadah di IPK Johor.

Johor Bahru: Seorang warga Singapura berusia 46 tahun yang mengetuai sindiket pengedaran dadah ditahan bersama lapan konconya dalam lima serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini pada 4 Febuari lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, susulan kejayaan itu pihaknya yakin menumpaskan kegiatan sindiket yang berpusat di negara jiran itu dengan kerjasama rapat Biro Narkotik Pusat Singapura (CNB).

Mohd Mokhtar berkata, suspek dipercayai aktif mengedar dadah di sekitar bandar raya ini serta negara jiran dan beliau menyifatkan kejayaan berkenaan adalah yang terbesar tahun ini dengan nilai rampasan keseluruhan termasuk dadah, mencecah RM1 juta.

“Pada 4 Februari lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Kontinjen Johor melancarkan lima serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini dan hasilnya, sembilan individu iaitu dua warga Singapura dan tujuh lelaki tempatan berusia lingkungan 23 hingga 46 tahun ditahan.

“Sejumlah dadah pelbagai jenis iaitu heroin, syabu, ketamin, eramin 5 dan ecstasy bernilai RM310,00 dirampas dari stor simpanan sindiket serta pelbagai jenis kenderaan serta wang tunai berjumlah RM750,000 disita.

“Ini hasil kerjasama rapat dengan CNB dan kerjasama ini akan terus dimantapkan pada masa depan bagi mengekang sindiket mengaut keuntungan mudah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Johor, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, semua suspek direman sehingga 10 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu katanya, seramai 3,966 orang diperiksa sepanjang Januari hingga 5 Februari lalu dan daripada itu, 1,872 ditahan kerana pelbagai kesalahan jenayah.

“Ia termasuk 249 pengedar, 405 orang memiliki dadah, 1,201 penagih dan lapan orang ditahan mengikut Langkah-langkah Pencegahan Khas.

“Polis merampas 10.12 kilogram pelbagai jenis dadah bernilai RM380,000 manakala sitaan harta berjumlah RM1.5 juta selain tangkapan 23 warga asing bersabit kesalahan dadah,” katanya.

Dalam pada itu, polis percaya dapat melumpuhkan satu kegiatan jenayah pecah rumah selepas menahan lima lelaki berusia anrara 17 hingga 28 tahun yang bergerak aktif di sekitar Iskandar Malaysia.

Menurunya, semua suspek yang ditahan untuk siasatan lanjut itu mempunyai rekod bersabit kesalahan dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Februari 2015 @ 9:09 AM