ALAT pemadam api yang diubahsuai digunakan sindiket penyeludupan dadah yang menyembunyikan bahan larangan itu terbongkar dalam operasi awal pagi semalam. FOTO ihsan PDRM
ALAT pemadam api yang diubahsuai digunakan sindiket penyeludupan dadah yang menyembunyikan bahan larangan itu terbongkar dalam operasi awal pagi semalam. FOTO ihsan PDRM
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Polis Johor menumpaskan sindiket penyeludupan dadah ke Singapura menggunakan lori ais untuk membawa bahan larangan itu yang disembunyikan dalam alat pemadam susulan operasi di sekitar bandar raya ini, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kejayaan hasil perkongsian maklumat Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Katanya, bertindak atas maklumat berkenaan, sembilan serbuan dilancarkan di sekitar bandar raya ini, kira-kira jam 1.20 pagi semalam.

"Dalam serbuan yang dilakukan sekitar Johor Bahru itu, sembilan suspek membabitkan tujuh lelaki dan seorang wanita tempatan selain seorang lelaki warga Indonesia berusia 26 hingga 46 tahun ditahan.

"Siasatan awal mendapati sindiket menyembunyikan dadah dalam alat pemadam api yang diubahsuai sebelum diseludup dengan lori ais ke Singapura dan mereka beroperasi sejak kira-kira tiga bulan lalu.

"Turut dirampas 7.12 kilogram ganja, 4.52 kilogram syabu dan 3.11 kilogram heroin yang kesemuanya bernilai RM215,283.20.

"Polis juga turut menyita lapan kereta bernilai RM172,000, wang tunai RM1,200 dan pelbagai barang kemas bernilai RM11,693," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ayob Khan berkata, hasil saringan air kencing mendapati seorang suspek positif dadah manakala tiga suspek lagi mempunyai rekod kesalahan dadah dan jenayah.

"Kesemua suspek direman seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 7:53 PM