Amir Abd Hamid


IBU Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor sudah mengenal pasti suspek sindiket yang menggunakan dron untuk menyeludup dadah antara Johor Bahru dan Singapura dan sebaliknya.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, perkongsian dan pertukaran maklumat strategik antara Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Johor giat dilaksanakan.

"Berkaitan dengan kes menyeludup dadah ke Singapura melalui dron, pihak polis Kontinjen Johor telah sedia maklum mengenai kes ini.

"Melalui kolaborasi pihak CNB Singapura dan JSJN IPK Johor, suspek terlibat telah dikenal pasti.

"Usaha mengesan dan menangkap suspek terlibat sedang dilaksanakan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau mengulas laporan media berkenaan tiga lelaki dan seorang wanita ditahan kerana didakwa mengedar dadah menggunakan dron yang diterbangkan antara Kranji (Singapura) dan Johor Bahru (Malaysia).

Namun Ayob Khan tidak mendedahkan perincian mengenai sindiket dadah yang menggunakan dron itu untuk tidak mengganggu siasatan kes berkenaan.

Berita Mediacorp semalam melaporkan kenyataan bersama Pasukan Polis Singapura (SPF) dan CNB bahawa data penerbangan diambil menerusi telefon seorang daripada suspek menunjukkan bahawa pesawat tanpa pemandu itu terbang dari Kranji ke Johor Bahru dan kembali lagi ke Kranji.

Terdahulu, kira-kira 5.45 petang 17 Jun, polis mengesan aktiviti pesawat tanpa pemandu yang luar biasa di sekitar Taman Takungan Kranji dan memerhatikan pesawat tanpa pemandu terbang dengan beg yang terpasang di atasnya.

Siasatan awal mendapati beg itu mengandungi dadah disyaki jenis 'Ice' (syabu) seberat sekitar 278 gram (g).

Polis kemudiannya menahan dua lelaki berusia 29 dan 34 tahun, dipercayai pengendali dron terbabit.

Dalam operasi susulan oleh CNB pada keesokan harinya, seorang wanita berusia 24 tahun dan seorang lelaki berusia 40 tahun, kedua-duanya warga Singapura, ditangkap.

Kira-kira 389 gram 'Ice', 8 gram heroin, 195 tablet ekstasi dan dua tablet Erimin-5, yang dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya S$44,000 (RM134,355), dirampas.

Berita berkaitan:

  • Edar dadah antara JB-Singapura guna dron
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 5:20 PM