Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Suspek yang ditahan reman selepas melakukan perbuatan membaling bungkusan plastik dipercayai berisi daging babi di pekarangan Masjid Telaga Air, di sini, dipercayai daripada keluarga yang mempunyai masalah mental.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, siasatan terhadap suspek berusia 40-an itu mendapati lelaki terbabit turut mempunyai masalah penyalahgunaan dadah.

“Melalui siasatan, suspek disyaki daripada keluarga yang mempunyai sejarah sakit mental, ditambah pula dia mempunyai masalah dadah hingga mengakibatkan tindakannya sukar diramal.

“Bagaimanapun, kita minta orang ramai tidak memanipulasikan perkara ini dan beri polis masa menyiasat perkara ini sedalam-dalamnya bagi tindakan seterusnya,” katanya.

Kelmarin, suspek yang baru selesai membaling bungkusan plastik berkenaan ditahan polis yang membuat rondaan, walaupun cuba melarikan diri dengan motosikal, jam 2 pagi.

Difahamkan, tindakan lelaki itu sebelum ini menimbulkan rasa kurang selesa pihak pengurusan masjid berkenaan berikutan risau sekiranya kawasan masjid itu dicemari daging khinzir.

Malah, kolah wuduk yang terletak berhampiran pagar masjid di tepi jalan utama itu terpaksa dikeringkan dan tidak lagi digunakan sejak sebulan lalu berikutan risau ia dicemari daging khinzir.

Abdul Rahman berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana perbuatan yang boleh mencetuskan keadaan tidak harmoni serta menimbulkan kemarahan berhubung agama dan suspek direman selama empat hari bermula Isnin ini untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, kerajaan negeri mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan jenayah yang tidak bertamadun itu dan menggesa polis mengambil tindakan tegas terhadap lelaki yang dipercayai mengalami masalah mental dan menunjukkan sikap tidak menghormati agama serta mengancam keharmonian agama dalam masyarakat.

Beliau berkata, ia adalah kejadian ketiga tahun ini apabila rumah ibadat dinodai dan diserang selepas dua kejadian awal berlaku di Wat Buddha Siam di Tanah Liat, Bukit Mertajam dan di Kuil Hindu Kaliamman di Pokok Machang, Tasek Gelugor.

“Kedua-dua serangan itu berpunca daripada lelaki yang dipercayai mengalami masalah mental dan dia sudah ditangkap polis.

“Tindakan tegas dan pantas perlu diambil terhadap mereka yang melakukan perbuatan merosakkan dan tidak diingini itu kerana ia mengancam keharmonian agama dan rumah ibadat.

“Bagaimanapun, saya yakin warga Pulau Pinang cukup matang untuk memastikan keharmonian kaum dan agama terus kekal, manakala keamanan dipertahankan apabila rakyat tidak mudah terpengaruh dan terjejas dengan perbuatan yang tidak diingini serta merosakkan itu,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:28 AM