kuih celorot antara juadah popular yang menggunakan gula apong.
kuih celorot antara juadah popular yang menggunakan gula apong.
JIMMY menunjukkan gula apong yang siap diproses.
JIMMY menunjukkan gula apong yang siap diproses.
Oleh Khalid Latip

Saratok: Jika kebanyakan masyarakat Dayak di Bumi Kenyalang menganggap ‘tuak’ sebagai minuman tradisional yang masam dan pahit serta memabukkan, lain pula ceritanya bagi penduduk di Kabong, Saratok di Sarawak.

Penduduk Kabong menjadikan ‘tuak’ yang memabukkan itu sebagai manisan dan memprosesnya sebagai gula untuk kegunaan harian. Ia dipanggil juga sebagai gula tuak.

Berbeza dengan pembuatan tuak yang dijadikan sebagai arak, gula itu diproses dengan air nira nipah, tetapi perlu memastikan tidak menjadi masam.

Seorang pengusaha gula tuak dari Kampung Kabong, Thomas Mohamad, 56, berkata, gula berkenaan sebenarnya lebih kurang sama dengan gula merah, cuma bezanya ia dihasilkan menggunakan nira nipah yang mudah diperoleh di negeri ini.

“Prosesnya macam buat tuak, bezanya ia tidak perlu diperam, sebaliknya dimasak untuk dijadikan gula.

“Begitupun, ketika mengambil air nira nipah itu perlu berhati-hati, terutama ketika menakung air bagi mengelakkan airnya menjadi masam,” katanya.

Thomas berkata, gula berkenaan biasanya digunakan untuk menghasilkan kuih tradisional masyarakat Sarawak, antaranya kuih celorot, keria dan bongkol, malah ia juga sedap dicampur dalam cendol.

“Tidak lengkap dapur orang Sarawak kalau tidak ada gula ini. Bagi kebanyakan penduduk Sarawak, gula ini dipanggil juga sebagai gula apong.

“Begitupun, bukan mudah memperoleh gula apong ini kerana pengeluarannya agak terhad, maka tidak hairan ia dijual dengan harga yang tinggi,” katanya.

Seorang lagi pengusaha Jimmy Basir, 53, berkata, penghasilan gula apong melalui proses rumit dan setiap satu daripadanya amat memerlukan ketelitian.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 January 2015 @ 5:26 AM