MUSTAFAR (dua dari kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Mohammad Azlan pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara NSTP dan SPRM. Turut hadir, Mohamed Jawhar (kiri), Abu Kassim (tiga dari kiri), Johan (empat dari kiri) dan Abdul Jalil (kanan) di Balai Berita, semalam.
MUSTAFAR (dua dari kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Mohammad Azlan pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara NSTP dan SPRM. Turut hadir, Mohamed Jawhar (kiri), Abu Kassim (tiga dari kiri), Johan (empat dari kiri) dan Abdul Jalil (kanan) di Balai Berita, semalam.
Oleh Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalin kerjasama selama dua tahun bermula Mac depan menerusi Program Penempatan Silang bagi membolehkan kedua-dua organisasi berkongsi kefahaman serta kepakaran dalam aspek media ke arah pembanterasan jenayah rasuah.

Menerusi Program Penempatan Silang, pegawai SPRM akan menjalankan tugas dan diberi latihan kemahiran media dan komunikasi di Jabatan Pengarang NSTP manakala pegawai NSTP pula akan ditempatkan di Bahagian Komunikasi Strategik, Bahagian Pendidikan Masyarakat atau mana-mana bahagian lain yang sesuai dan perlu.

Kerjasama itu dijalin selepas kedua-dua organisasi terbabit secara rasmi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Program Penempatan Silang di Balai Berita, di sini, semalam.

MoU berkenaan ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif NSTP Datuk Mohammad Azlan Abdullah serta Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Datuk Mustafar Ali mewakili SPRM.

Majlis disaksikan Pengerusi Media Prima Berhad Tan Sri Johan Jaaffar, Pengerusi NSTP Tan Sri Jawhar Hassan, Pengarang Urusan Kumpulan NSTP Datuk Abdul Jalil Hamid dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Hadir sama, Pengarang Kumpulan BH Datuk Mahfar Ali dan Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) Harian Metro Ahmad@Salim Bachok.

Abdul Jalil berkata, kerjasama itu bertujuan mendedahkan pengamal media di NSTP terhadap skop tugas serta tanggungjawab yang dilakukan di SPRM.

Katanya, ia juga memberi peluang untuk kedua-dua pihak melakukan perkongsian pengetahuan secara bersama.

“Kita belum kenal pasti pegawai kita yang akan ditempatkan di SPRM menerusi program ini.

“Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada wartawan di NSTP terhadap tugas dan bidang kerja SPRM dan bagaimana SPRM beroperasi. Ini perkongsian secara bersama,” katanya selepas majlis itu, semalam.

Mustafar berkata, sekurang-kurangnya dua pegawai daripada kedua-dua organisasi akan ditempatkan untuk tiga bulan bermula Mac ini dan ia bukan saja membabitkan aspek komunikasi korporat, malah juga bahagian lain yang berkaitan.

“Program ini dijalankan selama dua tahun dan setiap tiga bulan akan ada pegawai bersilang ganti. Sekurang-kurangnya dua pegawai NSTP dan SPRM akan ditempatkan.

“Bagi kita, kerjasama tidak terhenti selepas dua tahun, malah kita harap perkongsian ini dapat dilanjutkan lagi supaya kedua-dua pihak dapat memahami skop tugas masing-masing dengan lebih mendalam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 7:55 AM