NOOR Azlan (dua dari kanan) bertukar dokumen dengan  Azman  pada majlis  MOU antara UKM dan PPK  sambil diperhatikan  Pengurus PPK, Azlan Miskun  (kiri) dan  Dr Abdul Wahab.
NOOR Azlan (dua dari kanan) bertukar dokumen dengan Azman pada majlis MOU antara UKM dan PPK sambil diperhatikan Pengurus PPK, Azlan Miskun (kiri) dan Dr Abdul Wahab.
Siti Fatimah Hassan


Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan merangka program khusus berkonsepkan ‘universiti ladang’ untuk membolehkan pelajar Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina menerima pendedahan secara langsung di lapangan dalam industri pertanian dan penternakan berbanding pembelajaran dalam bilik kuliah.

Inisiatif itu dilaksanakan menerusi kerjasama bersama sebuah syarikat Bumiputera, Perladangan Peserta Kundang Sdn Bhd (PPK) selepas kedua-duanya memeterai Memorandum Persefahaman (MoU), di sini, semalam.

Menurut Naib Canselor UKM, Prof Datuk Seri Noor Azlan Ghazali, pihaknya mahu memberi lebih penekanan terhadap pembelajaran di luar kelas kerana ia lebih praktikal dan berupaya mempersiapkan pelajar menceburi industri itu.

Katanya, kerjasama itu dilihat sebagai perkongsian pintar antara kedua-dua pihak dan PPK menyediakan tempat bagi pelajar berkenaan menjalankan latihan industri selama sepuluh minggu sementara syarikat itu dapat memanfaatkan hasil penyelidikan universiti.

“Pendidikan hari ini bukan hanya terletak di bahu kerajaan saja dan usaha daripada pihak swasta seperti PPK ini dialu-alukan,” katanya.

Terdahulu, beliau mewakili UKM menandatangani MoU itu bersama Pengarah Urusan PPK, Azman Md Rasip sambil disaksikan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat UKM, Prof Datuk Dr Imran Ho Abdullah, Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Prof Datuk Ir Dr Abdul Wahab Mohammad dan Pengerusi PPK, Salim Sojo.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 6:05 AM