MEZAN melakukan aksi tebar roti canai dengan cara yang tersendiri ketika dijumpai di Jalan Tun Perak, Kampung Enam, Bachang. FOTO Rasul Azli Samad
MEZAN melakukan aksi tebar roti canai dengan cara yang tersendiri ketika dijumpai di Jalan Tun Perak, Kampung Enam, Bachang. FOTO Rasul Azli Samad

MELAKA: Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung, namun asal usul tidak pernah dilupa dan sering dirindui.

Begitulah yang dirasai penebar roti canai, Mezan Md Said, 39, yang pernah bekerja di Melbourne, Australia namun tetap rindukan negeri kelahirannya, Melaka.

Mezan berkata, pengalaman tiga tahun menebar roti canai selain membuat persembahan di hadapan pelanggan restoran di negara itu sentiasa dirindui dan kini hanya tinggal kenangan.

Menurutnya, perjalanan ke Melbourne bermula dengan pelawaan kenalan yang juga pelanggan roti canai yang membuka perniagaan restoran di negara itu.

“Saya menebar roti canai di Melbourne bermula dari 2014 hingga 2016 di Restoran Roti Road.

“Terdapat perbezaan ketara roti canai di negara ini dan Melbourne kerana di sana harganya RM18 bagi sekeping roti canai biasa,” katanya yang pernah memenangi pertandingan roti canai terbang tempatan pada 2005.

AKSI Mezan menerbangkan roti canai di restorannya di Jalan Tun Perak. FOTO Rasul Azli Samad
AKSI Mezan menerbangkan roti canai di restorannya di Jalan Tun Perak. FOTO Rasul Azli Samad

Dia ditemui di restorannya di Jalan Tun Perak bersebelahan Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di sini semalam.

Katanya, selain roti canai nasi lemak turut dijual restoran itu pada harga RM45 untuk satu hidangan.

“Saya kembali ke tanah air tahun lalu dan meneruskan legasi menebar roti canai di warung milik saya di Kampung Enam.

“Saya juga berhasrat ke Melbourne semula dan mahu membawa isteri, Melati Buang, 36, bersama anak Masita, 11, namun dia (isteri) mahu menetap di Malaysia,” katanya.

Katanya, kehidupan di Melbourne menyeronokkan namun tanggungjawab terhadap keluarga adalah lebih penting selain merindui kepelbagaian masakan Malaysia.

“Sepanjang berada di sana, saya tetap rindukan Malaysia dan faktor utama adalah makanan yang berbeza,” katanya yang meraih pendapatan RM220 sehari sepanjang bekerja di Australia.

Ditanya sama ada roti canai terbang masih mempunyai aura di negeri itu, katanya, pengikut dan peminat makanan itu masih besar.

“Tarikan masih ada malah jika saya berniaga pelanggan pasti minta saya tunjukkan kemahiran menebar roti canai terbang mereka mahu lihat dan berseronok sambil makan,” katanya.

“Ketika ini saya membuat persembahan sambil diiringi muzik selama lima minit pada jam 9 malam,” katanya yang membuka perniagaan mulai jam 5 petang hingga 2 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 10:20 AM