Kuala Lumpur: Bekalan tenaga telahpun dipulihkan hampir 60 peratus di negeri Kelantan semalam setelah petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB) bekerja siang malam untuk membaiki gangguan bekalan sebaik banjir surut ke paras selamat di sekitar pencawang elektrik syarikat utiliti nasional itu.

Pada satu ketika, peningkatan paras air memaksa TNB menutup sejumlah 1,960 pencawang di negeri berkenaan bagi mengelak litar pintas dan renjatan elektrik. Hampir 170,000 pelanggan terjejas ketika itu.

Walaupun mangsa banjir yang mungkin sudah pulang ke rumah masing-masing atau masih berada di pusat pemindahan mengharapkan bekalan elektrik segera pulih memandangkan talian tenaga kini dimatikan, realitinya tidak semudah yang difikirkan.

“Pada mulanya, kami berdepan kesukaran menghantar generator sokongan atau generator mudah alih (gen set mudah alih) dengan kapasiti sehingga 1,000 kilo Volt Ampere (kVA), memandangkan semua laluan ke Kelantan tidak boleh dilalui.

“Gen set mudah alih kami terkandas di pinggir negeri ini apabila laluan berkenaan diisytiharkan tidak selamat walaupun bagi kenderaan berat,” kata Ketua Penyelaras Pengurusan Banjir TNB Abdul Aziz Majid.

Hanya satu gen set berjaya diserahkan pada 27 Disember dan usaha membawa gen set mudah alih menggunakan bot terhalang disebabkan arus air yang deras. Gen set mudah alih itu dibekalkan dalam pelbagai kapasiti di bawah 10 kVA dengan berat sehingga 80kg.

Hanya selepas paras air mula surut sejak beberapa hari lepas dan laluan ke Kelantan boleh dilalui kenderaan berat, TNB menggerakkan 29 gen set mudah alih ke Kelantan.

Hampir 50 gen set mudah alih bersama lebih 6,000 liter petrol tiba di Kelantan, kelmarin dan diagihkan ke pusat penempatan mangsa banjir.

“Matlamat kami adalah pusat ini sekurang-kurangnya diterangi cahaya di waktu malam sambil kerja pemulihan di pencawang kami diteruskan,” kata Abdul Aziz yang juga Pengurus Besar Kanan (Operasi Wilayah 2) Bahagian Pembahagian TNB.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 9:44 AM