Pencawang elektrik.
Pencawang elektrik.
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Tenaga Nasional Berhad (TNB) masih menutup sementara bekalan ke 20 pencawang elektrik di Pahang susulan banjir besar yang berlaku di tiga daerah di negeri ini.

Pengurus Besar TNB Negeri Pahang, Datuk Baderul Sham Saad berkata ia membabitkan lapan pencawang di Bera, tujuh di Temerloh dan lima di Pekan.

Menurutnya ia masih sementara kerana ia ditenggelami banjir.

"Pencawang elektrik hanya akan dibuka selepas banjir surut sepenuhnya. Selepas itu proses membaiki kerosakan pula perlu dilakukan oleh kakitangan TNB.

"Pencawang elektrik yang dihenti tugas atau ditutup sementara manakala bekalan elektrik diberikan melalui set jana kuasa mudah alih bagi memastikan pengguna tidak terus tertekan dengan kesulitan berkenaan," katanya.

Baderul Sham berkata, penyambungan semula bekalan elektrik secara kekal atau sementara hanya selepas air surut sepenuhnya di kawasan terbabit dan selamat.

"TNB sentiasa berusaha memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan usaha memulihkan bekalan elektrik yang terputus sentiasa diberi keutamaan.

"Bagaimanapun kita perlu mengambil kira aspek keselamatan pengguna elektrik dan pekerja TNB, kita tidak boleh bertindak secara terburu-buru," katanya, dihubungi di sini hari ini.

Beliau menambah, bagi memastikan pengurusan banjir berkesan, seramai 267 kakitangan TNB terbabit dengan operasi banjir.

"Bilik Gerakan TNB Pahang juga diaktifkan untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini berkaitan bekalan elektrik, tindakan segera dapat dilakukan apabila maklumat diterima.

"Pengguna yang mengalami kerosakan sistem pendawaian serta sambungan bekalan elektrik selepas banjir disaran untuk mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga bagi memeriksa pendawaian di dalam rumah dan premis perniagaan mereka yang dinaiki air," katanya.

Tambahnya, pengguna dinasihatkan untuk tidak membaiki serta melakukan penyambungan sendiri kerana perbuatan berkenaan boleh mengundang berlakunya kejadian litar pintas seterusnya kebakaran.

"Kejadian banjir kali ini turut menyebabkan 26 rumah kakitangan TNB di beberapa daerah ditenggelami banjir, justeru pihak syarikat tampil menyalurkan bantuan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 2:51 PM