Tik Pawan menikmati makan malam dengan sebatang lilin di Pusat pemindahan SMKA Lati.
Tik Pawan menikmati makan malam dengan sebatang lilin di Pusat pemindahan SMKA Lati.

Pasir Mas: Dia baru melahirkan bayi sulung 10 hari lalu dan sepatutnya berpantang di rumah dalam keadaan selesa untuk memulihkan kembali tenaga yang hilang ketika proses kelahiran.

Bagaimanapun, Tik Pawan Salleh, 28, tidak menjalani proses berpantang seperti diharapkan berikutan rumahnya di Kampung Lati, di sini dinaiki air enam hari lalu.

Malah, dia yang melahirkan bayi lelaki di Hospital Lati, di sini terpaksa tidur di kaki lima dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Lati disebabkan sekolah itu yang menjadi pusat pemindahan banjir sementara sudah penuh dengan hampir 8,000 mangsa.

“Ada 10 kampung di sekolah ini dan memang padat. Saya tak ada tempat lain melainkan di sini dan saya bernasib baik anak tidak mempunyai masalah atau meragam.

“Memang tidak selesa tetapi tiada pilihan lain lagi kerana keadaan di luar yang masih dinaiki air,” katanya.

Menurutnya, dia juga bimbang keperluan untuk bayi kecilnya tidak mencukupi disebabkan bekalan terhad dan mereka di pusat itu terpaksa mencatu bekalan.

Apa yang utama katanya adalah lampin pakai buang dan dia mengakui ada penduduk kampung yang membantunya dengan berkongsi bekalan mereka ada.

Mengenai makanan berkhasiat untuk orang berpantang seperti dirinya, Tik Pawan berkata, dia tidak boleh cerewet dan hanya makan apa yang diberi kepadanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 5:15 AM