MOHD Jailani yang dipercayai rebah dan meninggal dunia di pusat mengundi. FOTO Syaherah Mustafa.
MOHD Jailani yang dipercayai rebah dan meninggal dunia di pusat mengundi. FOTO Syaherah Mustafa.
Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Seorang ejen parti dipercayai meninggal dunia di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati, di sini, hari ini.

Mohd Jailani Alias, 53, dipercayai rebah sebelum tidak sedarkan diri pada 7.50 pagi dan dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Pasir Mas (HPM) untuk siasatan lanjut.

Isterinya, Che Siti Abdullah, 47, berkata dia mengetahui kejadian menimpa suaminya selepas sahabat arwah ke rumahnya di Kampung Pondok Lati, di sini, kira-kira 8 pagi untuk memaklumkan perkara itu.

Katanya, dia hanya diberitahu suami pengsan ketika bertugas di pusat mengundi namun terkejut apabila mendapati suaminya disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

"Kali terakhir berjumpa arwah ketika kami sama-sama bersarapan awal pagi tadi. Tidak sangka air teh dan roti yang saya hidangkan padanya adalah juadah terakhirnya.

"Suami saya tidak ada sebarang penyakit kronik kecuali sering diserang gastrik. Bagaimana pun, sejak dua minggu ini dia ada mengadu sering berasa letih dan tiada tenaga untuk bekerja.

"Dia sudah membuat pemeriksaan namun tidak menunjukkan petanda sebarang penyakit, jadi pemergiannya hari ini benar-benar mengejutkan saya," katanya ketika ditemui di Unit Forensik HPM, di sini, hari ini.

Che Siti berkata, suami sudah memberitahunya dia akan bertugas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hari ini, malah dia dilihat bersemangat keluar di awal pagi untuk bertugas.

"Walaupun masih terkejut dan sedih, saya perlu kuat kerana sudah takdirnya suami pergi buat selama-lamanya hari ini.

"Insya-Allah jika semua urusan di hospital selesai, arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lemal, di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 4:47 PM