SEBAHAGIAN mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Mangsa Bencana di SK Sungai Binjai, Meru Klang.
SEBAHAGIAN mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Mangsa Bencana di SK Sungai Binjai, Meru Klang.
Oleh Mohd Hasbi Sidek


Kapar: Sehingga jam 5 petang semalam, seramai 85 mangsa banjir membabitkan 19 keluarga di sekitar Meru dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara yang dibuka Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bilangan mangsa yang dipindahkan bertambah seramai 22 orang daripada jumlah yang dilaporkan kelmarin iaitu 63 orang yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai, Meru dan SK Abdul Samad, Kapar.

Pegawai JKM Tuah Sajali berkata, berbanding kelmarin bilangan mangsa yang dipindahkan bertambah walaupun hujan berhenti namun paras air di kawasan rumah masing-masing meningkat kerana air dari kawasan tinggi mengalir ke kawasan penempatan mangsa yang lebih rendah.

Sementara itu, tinjauan di pusat pemindahan sementara mendapati suasana dalam keadaan terkawal dan JKM memberikan bantuan makanan serta tempat tinggal sementara.

Tinjauan di sekitar Persiaran Hamzah Alang mendapati air masih di paras 0.3 meter dan kebanyakan premis menjual makanan tidak dapat beroperasi.

Selain itu, pekarangan Masjid al-Syarif serta Sekolah Rendah Agama Pekan Meru masih dinaiki air, malah jemaah masjid terpaksa membina titi kayu untuk memudahkan orang ramai memasuki masjid.

Sementara itu, mangsa yang baru dipindahkan petang kelmarin Ahmad Maidin, 60, berkata, dia berpindah ke pusat pemindahan jam 6 petang kelmarin berikutan paras air semakin meningkat di rumahnya di Persiaran Hamzah Alang.

“Walaupun sudah membina benteng tembok bagi menghalang air daripada masuk ke rumah, air masih masuk sehingga mencecah paras lutut dan kami dinasihatkan supaya berpindah.

“Kawasan rumah kami berada di tempat yang lebih rendah menyebabkan air daripada kawasan tinggi mengalir turun malah air sedia ada masih tidak berganjak,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan SK Sungai Binjai.

Dalam pada itu, salah seorang mangsa yang dipindahkan ke SK Sungai Binjai semalam, Yumiyati Tarson, 49, berkata air yang naik pada paras lutut di rumahnya kelmarin menyebabkan dia dan suami Ahmad Mahadi Ramlan, 61, diminta berpindah sementara.

“Sebelum ini rumah saya pernah dinaiki air tetapi tidak sampai kena pindah tapi kali ini saya diminta berpindah sebab air semakin naik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Disember 2014 @ 5:07 AM