ANTARA warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan, semalam.
ANTARA warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan, semalam.
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Koloni pendatang warga asing Myanmar yang ‘menjajah’ kawasan Pasar Borong Selayang di sini, akhirnya digempur pihak berkuasa awal pagi semalam.

Dalam operasi bermula jam 1 pagi semalam, sepasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengepung dan menyerbu kawasan itu yang dihuni ratusan warga asing yang turut menguasai perniagaan di lokasi sama.

Operasi Ops Bersih Bersepadu itu turut disertai anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR).

Hasil operasi itu, seramai 450 warga asing diperiksa sebelum 416 individu ditahan atas pelbagai kesalahan.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Law Hoong Soon berkata, operasi itu dijalankan bagi mencegah jenayah selepas pihaknya menerima banyak laporan kes jenayah dilakukan warga asing seperti samun, curi dan pecah rumah.

Menurutnya, pihak berkuasa memeriksa seramai 450 individu membabitkan 398 lelaki dan 52 wanita.

“Susulan itu, kita menahan seramai 351 warga Myanmar, Bangladesh (20), Indonesia (30), India (tujuh) dan lain-lain (enam).

“Mereka ditahan kerana memiliki kad UNHCR palsu, 49 orang ditahan mengikut Akta Imigresen dan dua individu lagi kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya selepas tamat operasi itu jam 6 pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 7:00 AM