Seramai 44 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia dalam serbuan di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan di sini semalam. FOTO NSTP
Seramai 44 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia dalam serbuan di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan di sini semalam. FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan 44 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan.

Sumber JIM berkata, semua warga asing berkenaan ditahan hasil operasi di tiga lokasi sekitar pasar borong berkenaan bermula 9 pagi semalam.

Katanya, menerusi operasi terbabit, seramai 45 pegawai dan anggota dari JIM Putrajaya dikerahkan untuk menggempur PATI di kawasan terbabit.

“Hasil serbuan, JIM memeriksa seramai 71 individu dan daripada jumlah itu 44 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 30 warga asing terbabit adalah pemegang kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) daripada Myanmar didapati bekerja di pasar borong berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, baki tangkapan adalah warga Bangladesh dan Indonesia yang didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah serta menyalahgunakan permit.

“Antara kesalahan yang ketara di kesan menerusi operasi terbabit adalah membabitkan warga asing memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk bekerja di sektor perkilangan yang menyalahgunakan pas berkenaan dengan bekerja di pasar borong.

“Semua warga asing berusia 20 hingga 50 tahun terbabit di bawa pejabat JIM untuk pemeriksaan lanjut dan proses dokumentasi,” katanya.

Katanya, masalah kebanjiran warga asing di pasar borong bukanlah isu baru, namun ramai tidak menyedari golongan itu kini sudah mula menguasai kawasan berkenaan.

“Selain pelaksanaan operasi, Imigresen turut menempatkan pegawainya di kawasan pasar borong untuk tujuan pemantauan secara berkala.

“Imigresen akan terus komited menjalankan operasi penguatkuasaan bersama agensi penguatkuasaan lain dalam usaha menangani isu-isu berkaitan PATI,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 8:40 AM